Selangor nafi telah dapat bekalan 2.9 juta dos vaksin – Dr Siti Mariah

Selangor nafi telah dapat bekalan 2.9 juta dos vaksin – Dr Siti Mariah

Kami mengambil maklum tentang artikel yang disiarkan oleh laman sesawang codeblue.galencentre.org yang bertajuk “Selangor Received 2.9 Million Covid-19 Vaccine Doses: MOSTI” bertarikh 3 Jun 2021.

Sehingga 1 Jun 2021, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah menerima sebanyak 434,070 dos vaksin Pfizer, 146,440 dos vaksin Sinovac dan 34,700 dos vaksin Astrazeneca menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Covid-19 yang telah diterima ialah sebanyak 615,000 dos.

Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Negeri Selangor, pemberian vaksin Covid-19 fasa pertama melibatkan sebanyak 233,874 dos manakala pemberian bagi fasa kedua melibatkan sebanyak 192,096 dos. Maka jumlah keseluruhan vaksin yang telah diberikan ialah sebanyak 425,970 dos.

Urusan pengagihan vaksin dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bekalan vaksin yang diperuntukkan kepada negeri diturunkan kepada JKNS, disalurkan kepada bahagian farmasi dan diagihkan kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk diberikan mengikut agihan yang telah ditetapkan.

Saya telah merujuk isu ini kepada JKNS dan JKNS mengutarakan bahawa setakat ini vaksin yang diterima oleh Selangor adalah tidak mencukupi. Maka, tidak timbul isu Selangor mendapat bekalan sebanyak 2.9 juta dos vaksin dan adalah mustahil untuk Selangor mempunyai lebihan 2.5 juta dos untuk disimpan.

Saya mendapati terdapat banyak kecelaruan yang ditimbulkan oleh data bersumberkan MOSTI menerusi artikel tersebut. Pertama, data yang dinyatakan tidak selari dengan statistik pemberian dan penerimaan vaksin Covid-19 di Selangor. Kedua, terdapat negeri-negeri yang memberikan vaksin lebih daripada bekalan yang diterima. Situasi ini menunjukkan data yang dikeluarkan adalah tidak tepat dan sangat mengelirukan.

Selangor mempunyai kemampuan untuk memberi suntikan vaksin harian lebih tinggi daripada sekarang. Namun, kita tidak boleh menggerakkan PPV ke tahap yang maksimum kerana penerimaan vaksin yang diterima oleh Selangor hanya setakat yang telah dinyatakan sahaja.

Sehubungan dengan itu, saya ingin menggesa supaya pelaksanaan Program Pemberian Vaksin dapat dijalankan secara telus dengan informasi data-data yang lebih tepat dan terkini.

YB DR SITI MARIAH MAHMUD
PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP KESIHATAN AWAM, PERPADUAN,
PEMBANGUNAN WANITA & KELUARGA NEGERI SELANGOR

Sumber :