Selangor lulus 255 projek Rumah Selangorku sehingga Jun

Kerajaan Negeri Selangor meluluskan sejumlah 255 projek Rumah Selangorku, sepanjang tempoh Januari hingga 30 Jun, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, daripada jumlah itu 31 projek sudah siap dibina, 61 sedang dibina manakala 163 projek dalam perancangan.

“Berdasarkan status projek Rumah Selangorku mengikut PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) merekodkan jumlah tertinggi iaitu 55 projek dengan pecahan 10 projek siap bina, sembilan sedang bina manakala 36 lagi dalam perancangan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) pula mencatat kelulusan projek Rumah Selangorku kedua tertinggi dengan 37 buah projek dan diikuti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan 30 projek.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) pula mencatatkan jumlah terendah dengan masing-masing tiga projek,” katanya.

BERNAMA