Seks luar tabii : Lelaki terlepas pendakwaan boleh didakwa semula

Seks luar tabii : Lelaki terlepas pendakwaan boleh didakwa semula

Terdapat kemungkinan lelaki Muslim yang dibebaskan setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan enakmen syariah Selangor berhubung seks luar tabii bercanggah dengan perlembagaan, masih boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan, kata dua bekas peguam kerajaan.

Bekas timbalan pendakwa raya, Najib Zakaria berkata, pengadu dalam kes itu boleh membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dimulakan.

“Tiada had waktu untuk membuat laporan, seterusnya menyiasat kes itu. Polis boleh meneruskan siasatan yang dimulakan penyiasat dan pendakwa syariah Selangor,” kata beliau.

Najib berkata, polis boleh menyiasat sesiapa sahaja kerana Kanun Keseksaan tidak mengamalkan diskriminasi antara penganut Islam dan bukan Islam.

Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan liwat. Lelaki berusia di bawah 50 tahun boleh disebat sehingga 24 kali.

Najib percaya penasihat undang-undang Selangor berada di kedudukan paling sesuai untuk menasihatkan pihak-pihak terbabit berhubung tindakan seterusnya memandangkan beliau akan mempunyai semua maklumat berkenaan kes itu.

Beliau mengulas deklarasi panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan minggu lalu bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bercanggah dengan perlembagaan kerana badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang itu, memandangkan ia sudah berada dalam Senarai Persekutuan.

Pengerusi panel, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie mengemukakan tuduhan di bawah Seksyen 28 enakmen tersebut terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki yang identitinya tidak didedahkan atas permintaan peguam itu didakwa cuba melakukan seks luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 Nov 2018.

Dia meminta dibicarakan dan prosiding ditangguhkan sementara menunggu keputusan bantahan perlembagaannya di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed yang turut menganggotai panel tersebut berkata, berdasarkan fakta kes, lelaki tersebut cuba melakukan seks luar tabii dengan lelaki lain, termasuk tiga orang bukan Islam.

Seorang lagi bekas timbalan pendakwa raya, Shamsul Sulaiman berkata, mahkamah tertinggi itu hanya memutuskan peruntukan enakmen Selangor itu tidak sah, tetapi tidak membatalkan siasatan.

“Polis boleh merekodkan kenyataan saksi seperti diperuntukkan Kanun Prosedur Jenayah sebagai proses pengumpulan keterangan mereka,” kata beliau, sambil menambah, ada kemungkinan pendakwaan dijalankan sekiranya keterangan mencukupi.

Katanya, polis boleh memperoleh keterangan lain yang dimiliki pihak berkuasa agama negeri untuk membina kes kukuh.

“Akhir sekali, terpulang kepada peguam negara dan pegawai-pegawainya untuk memutuskan pendakwaan berdasarkan keterangan yang dihimpunkan polis,” kata beliau.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang juga pengamal undang-undang syariah berkata, sekiranya wujud keterangan mencukupi untuk kes prima facie, lelaki itu boleh didakwa atas tuduhan cuba melakukan liwat.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/05/lelaki-terlepas-pendakwaan-syariah-berhubung-seks-luar-tabii-boleh-didakwa-bawah-kanun-keseksaan/