Sekolah bukan medan semai kebencian

Walaupun Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan mana-mana ahli politik daripada blok pembangkang memasuki kawasan sekolah namun ia bukanlah tiket untuk mereka bercakap soal politik.

Sebaliknya, ahli-ahli politik pembangkang seharusnya menggunakan ketetapan yang diberikan itu sebagai wadah menyalurkan ilmu dan kepakaran untuk disampaikan kepada murid-murid dan pelajar di sekolah.

Setiausaha Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Fadillah Sabali menjelaskan Kerajaan Persekutuan meneruskan polisi yang sedia ada dengan mengambil langkah terbuka tidak menghalang wakil ahli politik pembangkang bagi menghadiri program atau majlis di sekolah.

Namun katanya, ahli-ahli politik berkenaan mestilah tidak menjadikan peluang yang diberikan itu dengan sewenang-wenangnya digunakan sebagai medan berpolitik.

“Secara asasnya ruang sekolah tidak sepatutnya menjadi tempat untuk politik yang tidak selaras dengan matlamat yang digariskan oleh kerajaan.

“Justeru, sekalipun dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) tetapi apabila bukan daripda parti pemerintah, sensitif politik negatif boleh sahaja timbul,” ujarnya ketika mengulas ucapan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Teo Nie Ching pada Isnin lalu di Dewan Parlimen.

Nie Ching dipetik sebagai berkata, keputusan Jemaah Menteri berkaitan kemasukan mana-mana individu kenamaan ke kampus universiti dan sekolah hanya tertakluk kepada program Kerajaan Persekutuan.

Susulan keputusan itu, katanya kerajaan telah menetapkan hanya wakil rakyat dalam blok kerajaan sahaja diundang bagi perasmian atau penganjuran.

Beliau turut mendedahkan bahawa wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) pernah diundang bagi program atau majlis di sekolah di seluruh Sarawak berbanding Pakatan Harapan (PH) yang hanya 170 kelulusan.

Sebelum ini, wakil rakyat dan pemimpin GPS mempertikaikan halangan dan sekatan yang dikeluarkan kepada mereka untuk memasuki kawasan sekolah di negeri ini.

Dalam pada itu, Fadillah menegaskan, ketika pemerintahan Kerajaan Barisan National (BN) lalu, mereka telah menghalang wakil rakyat PH dengan sekeras-kerasnya untuk mengadakan majlis di sekolah.

“Ketika itu, kami amat sukar untuk menganjur majlis bersama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) demi berkongsi ilmu bersama murid-murid dan pelajar.

“Tetapi sekarang walapun kerajaan di bawah PH, layanan tetap diberi sama rata kepada semua pihak berdasarkan permohonan untuk memasuki kawasan sekolah, ” tambah beliau.

 

Berita Asal https://malaysiadateline.com/sekolah-bukan-medan-semai-kebencian/