“Segalanya huru hara”, kata Pemimpin Umno kepada Putrajaya

“Segalanya huru hara”, kata Pemimpin Umno kepada Putrajaya

Selepas “tidak cekap” menangani situasi Covid-19 di negara ini, kerajaan perlu bertindak pantas bagi memastikan jutaan rakyat mempunyai wang mencukupi untuk membeli keperluan asas ketika “lockdown”, gesa bekas menteri kewangan kedua, Johari Ghani.

Beliau berkata, bantuan yang disalurkan kerajaan tidak seharusnya berdasarkan tahap pendapatan semata-mata kerana ini akan menyebabkan ramai yang gagal dibantu.

“Pada awalnya, kita menguruskannya dengan baik. Namun, sejak pertengahan tahun lalu, satu persatu masalah timbul. Sekarang kita di bawah ‘lockdown’ dan saya sangat bimbang dengan nasib rakyat, terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Setiap kali ‘lockdown’, pekerja sektor tidak formal dan yang bekerja sendiri paling terkesan kerana bergantung kepada pendapatan harian,” kata beliau kepada FMT sambil menambah statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan kira-kira 3.92 juta individu termasuk dalam dua kategori itu.

Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, kerajaan seharusnya merangka strategi lebih terperinci bagi memastikan keperluan golongan rentan dijaga.

Beliau berkata, terdapat banyak aduan daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama mengenai bantuan yang disalurkan tidak diterima golongan sasar, dengan laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut menunjukkan ramai penduduk miskin bandar masih bergelut.

Ini menunjukkan ketidakpadanan antara bantuan yang diperlukan rakyat dan yang ditawarkan kerajaan, katanya.

“Kita perlu semua wakil rakyat dan Ahli Parlimen turun padang serta mengenal pasti individu atau keluarga yang tidak mampu membeli makanan serta keperluan harian.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga hendaklah bekerjasama dengan wakil rakyat bagi mengagihkan bantuan serta memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya.

Johari berkata, kerajaan persekutuan mesti memperuntukkan dana dengan segera untuk pembelian barang keperluan, yang boleh diperolehi daripada kawasan masing-masing untuk membantu memacu ekonomi tempatan.

‘Lockdown’ penuh yang lebih sesuai

Walaupun beliau bersetuju “lockdown” penuh diperlukan berdasarkan situasi semasa Covid-19, kerajaan perlu mempunyai strategi tepat untuk mengelakkan langkah sebegitu terpaksa digunakan.

“‘Lockdown’ berulang kali akan membawa kesan buruk kepada ekonomi, bukan hanya kerana ia menjejaskan permintaan segera, tetapi juga mencetuskan ketidakpastian,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga tidak membantu dengan mengeluarkan arahan tidak jelas dan komunikasi kerajaan yang lemah menimbulkan kekeliruan, sekali gus mengurangkan keyakinan pelabur.

“Kesannya, kita melihat perniagaan terpaksa dikecilkan dan tidak lagi mengambil kakitangan kerana ketidakpastian terhadap dasar kerajaan menghalang mereka melabur untuk beroperasi atau memperluaskan operasi; atau lebih teruk lagi, mereka terpaksa menutup operasi terus.”

Justeru, kerajaan perlu lebih jelas dengan apa yang dimaksudkan sektor perlu.

“Bagi saya, hanya industri makanan dan minuman, termasuk yang terbabit dalam rangkaian bekalan dan pengagihan produk ini,.

“Memandangkan banyak kluster berpunca daripada tempat kerja, terutamanya kilang, kerajaan hendaklah mengarahkan ia ditutup dan menjalankan saringan besar-besaran bagi semua pekerja tempatan dan asing, biarpun kilang berkenaan menghasilkan produk eksport penting, seperti barangan elektrik dan elektronik atau sarung tangan perubatan.”

Johari mencadangkan Putrajaya bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mengendalikan saringan besar-besaran, kuarantin, pendidikan kesihatan serta tindakan penguatkuasaan.

Strategi keluar

Johari berkata, apa yang belum jelas kepada orang awam, pasaran serta pelabur adalah strategi keluar Malaysia.

“Sudah setahun sejak Covid-19 melanda, tetapi kita kelihatan tiada hala tuju. Tiada siapa tahu cara untuk keluar, apatah lagi tahu bila kita akan dapat keluar daripada bahaya.”

Namun, kata beliau, apa yang jelas adalah vaksin menjadi pertaruhan terbaik negara untuk memerangi pandemik ini dan kunci terhadap pemulihan ekonomi.

“Kebimbangan saya berdasarkan keadaan semasa ialah kemungkinan besar sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini tidak akan tercapai.

“Ternyata kita tidak cukup pantas kerana jangkitan baharu dan angka korban semakin meningkat. Minggu lalu, kita mencapai purata 7,000 kes dan 60 kematian sehari, malah unit rawatan rapi (ICU) juga mencapai kapasiti maksimum.”

Johari berkata, bagi menambah baik proses imunisasi, kerajaan perlu menguruskannya dengan efisien dan telus.

“Dedahkan kepada umum kos bagi setiap dos vaksin, dedahkan syarikat yang dilantik untuk menguruskan proses imunisasi di pusat vaksinasi dan berapa banyak yang dibayar kerajaan kepada mereka.”

Mengenai RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara, katanya, kerajaan perlu mendedahkan berapa banyak yang telah digunakan dan pecahan perbelanjaannya secara terperinci.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada vaksin dibeli secara terus daripada pengeluar atau ejen dilantik syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Malaysia.

“Jika dibeli melalui ejen, berapa banyak yang dibenarkan setiap ejen untuk diimport?”

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan isu berkaitan syarikat lantikan kerajaan yang menawarkan vaksin kepada kakitangan dengan bayaran RM50.

“Adakah perkhidmatan ini terbuka kepada kakitangan syarikat lain?

“Jika mahu program imunisasi ini berjaya, kerajaan perlu mendapatkan kepercayaan rakyat, yang hanya akan diperoleh melalui ketelusan,” kata beliau.

Johari berkata, kerajaan seharusnya melaporkan perkembangan mingguan mengenai baki stok vaksin, jumlah yang diperuntukkan kepada negeri-negeri, serta jadual bekalan vaksin dijangka tiba.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengambilan vaksin secara “walk-in”, berdasarkan konsep “siapa cepat, dia dapat”, terutamanya di negeri-negeri yang mencatatkan bilangan penerima gagal hadir tertinggi.

“Ini akan mengoptimakan bekalan vaksin. Kerajaan perlu membenarkan hospital swasta memperolehi bekalan vaksin mereka sendiri. Kenapa hospital swasta tidak dibenarkan mengimport vaksin atas tanggungan mereka sendiri?

“Tiada gunanya melantik 2,500 pengamal perubatan awam dan membenarkan hospital swasta menjalankan vaksinasi jika mereka terpaksa tunggu bekalan daripada kerajaan,” katanya.

Johari turut menggesa kerajaan berhenti memberikan layanan istimewa kepada VVIP dan keluarga mereka.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/03/lakukan-sesuatu-semuanya-huru-hara-johari-gesa-putrajaya-bertindak/