Sebenarnya ini yang buat kami lelah, keluh frontliner

Sebenarnya ini yang buat kami lelah, keluh frontliner

Tahu tak apa yang membuatkan kami lelah?

Bukan kerana perlu pakai PPE dan mandi 5-6 kali sehari. Bukan juga kerana menjaga beratus pesakit kritikal kategori 4 & 5 setiap hari.
Bukan.

Tetapi kerana perlu buat keputusan, pesakit mana satu kami kena pilih untuk berikan ventilator terakhir kami setiap hari.

Adakala setelah kami susah payah saring dan pilih seorang dari 20 pesakit untuk ventilator terakhir kami, tiba-tiba datang pula seorang pesakit yang lebih muda, lebih kritikal dan lebih layak untuk ventilator tadi.

Namun apakan daya. Tiada ventilator untuk dia buat hari itu. Terlewat beberapa minit. Dah jadi rezeki orang lain.

Tahukan apa akan jadi pada mereka yang tak dapat bantuan ICU atau ventilator pada saat kritikal itu? Umpama dijatuhkan hukuman mati penuh siksa.

Setiap mereka yang tak dapat ventilator asyik bertanya bila giliran mereka nak dibawa masuk ke ICU; dah tak mampu bernafas, penat sangat.

Mereka yang kekurangan oksigen dah tak tentu arah cuba bernafas dalam pelbagai posisi. Baring tak kena, duduk pun tak kena. Ada yang merangkak atas katil, ada yang menyangkung bawah paip oksigen.

Masing-masing cuba memaksa sebanyak mungkin oksigen dari topeng masuk ke paru-paru yang dah membengkak dan keras. Cuba dan cuba sehinggalah jantung tak mampu menanggung.
Bayangkan mereka itu adik beradik kita, ibu bapa kita, tuan puan.

Kami bila habis on call dan pulang ke rumah akan asyik teringat dan rasa bersalah.

Betulkah pilihan yang aku buat semalam? Patutkah aku beri ventilator pada pakcik tu? Atau pada adik tadi? Lambat sangat kah aku bawa pesakit tadi masuk ICU? Patutkah aku switch-off lebih cepat ventilator makcik yang tiada harapan hidup, untuk memberikan katil ICU itu buat pakcik yang dah lama menunggu?

Kami cuba lupakan. Jika tidak nanti akan terbawa-bawa dan menganggu kerja. Lusa nak on call semula.

Itulah yang membuatkan kami kecewa dan lelah.

Bukan kerana penat selamatkan nyawa. Tapi kerana kami tak mampu nak selamatkan semua.
Sumber: