Sebar Covid-19 satu kampung, bekas tahanan lokap polis disyaki punca

Sebar Covid-19 satu kampung, bekas tahanan lokap polis disyaki punca

Seorang individu yang juga bekas tahanan reman dipercayai menjadi punca penularan wabak COVID-19 di sebuah kampung di Baling.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata individu yang positif COVID-19 itu dikatakan pulang ke kampungnya selepas tamat tahanan reman.

“Individu itu mungkin menjadi punca penularan wabak berlaku sehingga menyebabkan beberapa sekolah di Baling terpaksa ditutup, namun siasatan lanjut masih dijalankan petugas kesihatan.

“Apabila individu ini tamat tahanan reman, dia balik ke rumah dan bergaul bersama penduduk kampung. Setakat ini, jiran dan kontak rapat individu berkenaan membabitkan 24 rumah di kampung sudah disaring.

“Bagaimanapun, saringan ini tidak membabitkan semua penduduk kampung berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya difahamkan kampung itu sudah dikawal pihak berkuasa, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Bersasar belum dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Semalam, dua sekolah di Baling iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling dan SMK Bongor diarahkan tutup sehingga 17 Oktober ini.

Dua lagi sekolah yang diarahkan tutup adalah SMK Bukit Payong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau di Pokok Sena.

Sementara itu, Dr Mohd Hayati memaklumkan semua tahanan posiitif COVID-19 yang bergejala ringan membabitkan Kluster Tembok diasingkan di dalam penjara dan dirawat mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, setiap petugas kesihatan akan diiringi wardar penjara yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) untuk merawat pesakit, manakala tahanan yang serius dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/10/741116/bekas-tahanan-reman-dipercayai-punca-penularan-covid-19-di-baling

COMMENTS