Saya tak pertikai Steven Sim, kata Kamarul

Saya tak pertikai Steven Sim, kata Kamarul

Saya perlu jelaskan bahawa tidak pernah walau sekali pun saya mempertikai segala bantuan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim kepada para pengundinya atau sesiapa sahaja.

Saya hanya menzahirkan ketidakselesaan kerana melihat ia seperti sengaja mahu disensasikan untuk publisiti melalui penceritaan panjang lebar dengan menggunakan ayat yang dimaksudkan untuk mencetuskan emosi, dikaitkan dengan Ramadan dan disertakan dengan gambar-gambar terperinci yang dirancang dari awal.

Sedangkan pemberian motosikal bernilai RM4,500 oleh Steven Sim kepada seorang lelaki Melayu Islam pekerja Food Panda berusia 22 tahun bernama Mohamad pada 13 April ini adalah sesuatu yang biasa sahaja.

Ia sama seperti pemberian motosikal bernilai RM4,700 oleh Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim, kepada seorang lelaki Melayu Islam juga pekerja Food Panda berusia 26 tahun bernama Zulfakar.

Dan kedua-dua penerima juga bekerja menggunakan basikal sebelum ini.

Saya berpendapat bahawa pemberian motosikal ini tidak sepatutnya disensasikan sebegitu rupa kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu Islam kerana seolah-olah mereka, khususnya warga Kelantan, mengabaikan kebajikan pekerja Food Panda dari Kelantan yang didakwa bekerja dengan gaji RM500 sahaja sebulan di Pulau Pinang.

Saya sendiri merasa sedih bila mendapat tahu nasib pekerja Food Panda dari Kelantan yang sengsara di Pulau Pinang ini dan mahu turut sama mengusahakan bantuan kepadanya.

Malangnya bila saya cuba dapatkan nombor telefonnya daripada mereka yang ada akses kepada Steven Sim, cubaan ini gagal. Ia membuatkan saya tertanya-tanya mengapa pula seperti mahu dirahsiakan identiti pekerja ini tatkala banyak pihak lain mahu turut membantu.

Perkara ini menjadi sensitif kerana seperti sengaja mahu ditonjolkan secara berlebihan tindakan Steven Sim, seorang Cina, membantu lelaki Melayu Islam sedangkan bukannya tidak ada Cina lain yang hidup melarat, malah ramai.

Tetapi mengapa Melayu Islam yang dipilih untuk disensasikan ceritanya seolah-olah ada tujuan tertentu di sebaliknya.

Saya sendiri biasa menderma kepada orang bukan Melayu Islam, khususnya dari kalangan para pelajar atau bekas pelajar UUM, termasuk memberi RM5,500 kepada seorang pelajar Cina di Kepong yang gagal mendapat bantuan kewangan dari DAP pada 7 Mac lalu, tetapi sengaja tidak menghebahkan dan mensensasikannya kerana saya sedar perkara ini agak sensitif.

Perkara ini menjadi lebih sensitif bila:

Steven Sim, melalui tulisan mantan pegawai khasnya, Joshua Woo, dan tulisannya sendiri, dinyatakan sebagai mubaligh Kristian dan evangelis Kristian.

Steven Sim, melalui tulisan mantan pegawai khasnya, Joshua Woo, dan tulisannya sendiri, dinyatakan sebagai menyeru gereja untuk bukan sahaja menghadkan aktiviti evangelisme mereka kepada mencari rekrut/penganut baru Kristian, tetapi turut terlibat dalam politik secara praktikal.

Steven Sim, melalui tulisan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, tulisan mantan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, dan rakaman video satu forum di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor, pada 14 September 2019, dinyatakan sebagai “begitu rancak mempromosi ‘The Kingdom of God’ dan ‘The Jesus Manifesto’”, dinyatakan mahu “menjadikan Malaysia sebuah Negara Tuhan berasaskan Manifesto Jesus”, dan dinyatakan sebagai berkata bahawa Kerajaan Tuhan adalah satu misi yang tidak dapat dihalang.

Dalam konteks inilah saya mengingatkan Melayu Islam untuk memikir dan merenungkan tindakan memuja secara berlebihan kerana budi baiknya membantu seorang dua Melayu Islam yang seolah-olah diorkestrakan dengan sebegitu rupa, bagi tujuan melonjakkan imej sedangkan tidak pernah dinafikan bahawa pemberinya adalah mubaligh Kristian yang definisinya pun bertugas menarik orang memeluk Kristian, termasuk melalui pemberian bantuan.

Dalam reaksinya kepada tulisan-tulisan saya, Steven Sim berkata “Walaupun saya amat terkesan dengan fitnah dan cemuhan yang dilontarkan, saya tidak akan berhenti berkhidmat. Saya tetap akan bantu semua tak kira kaum dan agama. Ini ikrar saya dulu semasa dipilih sebagai wakil rakyat.”

Soalnya ialah kalau betul saya memfitnah dan mencemuh dia, mengapa pula dia tidak berani untuk menafi atau menyaman saya?

Saya langsung tidak nampak di mana yang dikatakan saya memfitnah dan mencemuhnya, dan saya tidak pun menggesa masyarakat Melayu Islam supaya tidak menerima apa-apa bantuan yang diberi olehnya.

Apa yang saya ingatkan hanyalah supaya mereka tidak terlalu memuja-muji secara berlebihan pemberian ini.

Pada masa sama, saya juga mengingatkan Steven Sim supaya sekadar membuat penghebahan biasa dan tidak terlalu mensensasikan untuk publisiti pemberian bantuannya kepada orang Melayu Islam kerana ia boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu Islam dan seterusnya boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/571317