‘Saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan seterusnya’ – Tamrin

‘Saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan seterusnya’ – Tamrin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tidak seharusnya meletakkan kesalahan kepada pihak lain atas kegagalan dirinya sendiri, kata Tamrin Ghaffar.

Tamrin membalas kenyataan Zuraida yang mendakwa projek rundingan terus yang dianugerahkan kementeriannya ketika pentadbiran PH dimulakan dan diluluskan sendiri oleh menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Zuraida merujuk projek Sisa Pepejal Taman Beringin bernilai kira-kira RM170 juta kepada syarikat Bumi Segar Indah, yang mana Tamrin merupakan penasihatnya.

Bagaimanapun Tamrin bekata mustahil Zuraida selaku menteri tidak tahu langsung berkenaan perkara itu dan Kementerian Kewangan hanya bertindak mengikut syor Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Sebagai seorang menteri sepatutnya dia tidak membabitkan dan menyalahkan pihak lain di atas kegagalannya.

“Saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan seterusnya,” katanya yang juga anak bekas timbalan perdana menteri Ghaffar Baba, dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan semalam, Zuraida berkata hasil siasatan mendapati Tamrin – yang disifatkannya sebagai penyokong tegar PH – telah mewakili syarikat Bumi Segar Indah telah bertemu Lim pada 28 Nov 2018.

“Pada pertemuan inilah Lim bukan sahaja membincangkan tentang rundingan semula projek ini malah bersetuju untuk mengurangkan kos tipping fee 10 peratus lebih rendah daripada kos asal, kononnya sebagai penjimatan untuk kerajaan.

“Lim kemudian menasihatkan Bumi Segar Indah untuk menghubungi KPKT bagi membentangkan kertas cadangan formal.

“Seterusnya, projek tersebut diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah YB Lim Guan Eng dengan surat bertarikh 20 Februari 2019 dari Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha KPKT,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mempersoalkan sama ada Zuraida membayangkan kemungkinan ketua setiausaha KPKT menulis surat permohonan untuk projek itu kepada Lim tanpa pengetahuannya.

“Atau adakah dia mendakwa Lim luluskan projek yang dibentang rasmi kepada KPKT tanpa pengetahuan menterinya?” soalnya di Twitter.

Terdahulu, Lim menyatakan Zuraida antara menteri ketika pentadbiran PH yang terlibat dalam pemberian kontrak tanpa tender terbuka, berdasarkan senarai 101 kontrak bernilai RM6.61 bilion yang dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

COMMENTS