Saya memang terima Motor Dash 125 dan minta YB rahsiakan identiti, jelas adik FoodPanda

Saya memang terima Motor Dash 125 dan minta YB rahsiakan identiti, jelas adik FoodPanda

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong akhirnya tampil menjelaskan isu pemberian bantuan motosikal kepada seorang penghantar makanan yang menjadi tular sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, tindakan merahsiakan identiti penerima bantuan tersebut, Anas Hazmi Ahmad, 22, dilakukan kerana menghormati kehendak individu berkenaan.

Selain itu katanya, tindakan itu juga dilakukan bagi mengelak isu terbabit dipolitikkan pihak tertentu.

“Saya hanya menghormati penerima bantuan (Anas Hazmi) yang tidak mahu identitinya didedahkan kepada umum tapi saya pula difitnah macam-macam,” katanya pada sidang akhbar khas yang diadakan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di sini pada Rabu.

Isu pemberian motosikal kepada penghantar makanan terbabit sebelum ini tular selepas beberapa pengamal media dan netizen dilaporkan gagal mengesan Anas Hazmi yang diperkenalkan sebagai ‘Mohamad’ oleh Steven Sim dalam beberapa hantaran yang dimuat naik melalui laman Facebooknya sebelum ini.

Bagi merungkai persoalan itu, Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff tampil menawarkan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada sesiapa yang boleh memberikannya maklumat lanjut tentang ‘Mohamad’.

Mengulas lanjut, Steven Sim mengakui beliau memperuntukkan kira-kira RM4,000 untuk membeli motosikal itu kepada Anas Hazmi sambil memberitahu wang selebihnya disumbangkan oleh penderma lain yang enggan dikenali.

Bagaimanapun, beliau turut hairan apabila ada pihak yang memuat naik geran motosikal palsu dalam Facebook yang kononnya dimiliki oleh seorang lelaki berbangsa Cina susulan pembelian motosikal berkenaan.

Sementara itu, Anas Hazmi kesal apabila pemberian motosikal terbabit dijadikan isu oleh segelintir pihak yang turut mengecam sumbangan wakil rakyat terbabit.

Beliau turut terkilan dengan tindakan pihak tertentu yang sanggup menawarkan wang tunai berjumlah RM2,000 semata-mata mahu mendapatkan maklumat peribadinya.

Anas Hazmi berkata, wakil rakyat tersebut sebelum ini menawarkan untuk membantunya selepas mengetahui keadaannya yang menjalani kehidupan dalam serba kesusahan.

“Saya rasa amat marah dan sedih dengan tindakan melampau beberapa pihak yang mengecam usaha YB Steven Sim membantu saya.

“Saya mengesahkan menerima motosikal jenis Honda Dash 125 yang disumbangkan oleh YB Steven Sim dan saya yang minta agar YB tidak mendedahkan identiti saya selama ini,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/135961/EDISI/Steven-Sim-tampil-perjelas-isu-tular-pemberian-bantuan-motosikal