Saya duduk jauh dari Tok Pa dan Rina, jadi tak perlu kuarantin – Khairuddin

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beliau tidak menjalani kuarantin kendiri kerana bukan kontak rapat kepada dua menteri yang disahkan positif Covid-19.

Katanya, ujian saringan dilakukan secara berkala ke atas anggota Kabinet dan beliau sudah disaring “berpuluh kali” bagi memastikan dirinya sihat.

“Saya melakukan ujian swab hari ini dan mereka yang duduk dekat sudah diarah menjalani kuarantin. Saya duduk lebih jauh (dari mereka), jadi saya tidak terlibat dengan (proses) kuarantin,” katanya pada sidang media di Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Katanya, beliau sedang menunggu keputusan ujian swab itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun baru-baru ini disahkan positif Covid-19. Mereka dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dan Hospital Sungai Buloh.

Mengulas khabar angin mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP) mungkin dilaksanakan semula di beberapa negeri, Khairuddin berkata, semua kilang dan ladang kelapa sawit masih dibenarkan beroperasi, tetapi bawah SOP lebih ketat.

“Sejak tahun lalu, kita belajar menguruskan ladang dengan cara lebih efisien untuk mengelakkan sebarang jangkitan.

“Jika PKP dilaksanakan semula, kementerian akan berusaha memastikan semua ladang dapat beroperasi seperti biasa supaya eksport minyak sawit tidak terjejas.”

Mengenai pematuhan wajib pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) untuk semua penanam sawit, beliau mengumumkan 88.25% atau 5.2 juta hektar ladang sudah menerima pensijilan itu setakat 31 Dis lalu.

Seramai 162 penanam sawit di bawah Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC), 30% pekebun kecil bebas dan 98% pemilik ladang di bawah agensi kerajaan turut menerima pensijilan itu.

Khairuddin berkata, kerajaan sedang menyediakan dokumen untuk memfailkan saman di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap Kesatuan Eropah (EU), susulan sekatan ke atas biodiesel berasaskan minyak sawit, yang akan diserahkan dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai krisis politik semasa di mana lebih ramai Ahli Parlimen Umno mungkin menarik sokongan mereka untuk pentadbiran Perikatan Nasional, Ahli Parlimen PAS itu berkata “kerajaan masih kerajaan” sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Sebagai menteri, saya akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa.”

Beliau turut mengesahkan mesyuarat khas Kabinet diadakan hari ini, tetapi tidak menjelaskan topik yang dibincangkan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/11/saya-tak-dikuarantin-kerana-bukan-kontak-rapat-kata-khairuddin/

COMMENTS

Wordpress (0)