Satelit China hampir berlanggar dengan dua satelit SpaceX milik Elon Musk

Pengguna internet China mengecam bilionair Elon Musk hari ini selepas Beijing memaklumkan bahawa stesen angkasa lepasnya melakukan pergerakan drastik untuk mengelak daripada melanggar dua satelit SpaceX.

SpaceX merupakan syarikat penerokaan angkasa lepas milik Musk.

Stesen angkasa lepas China, Tiangong terpaksa melaksanakan ‘kawalan pencegahan pelanggaran’ semasa dua pertembungan berasingan dengan satelit Starlink milik SpaceX pada Julai dan Oktober lalu, demikian menurut dokumen yang diserahkan Beijing kepada agensi angkasa lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan ini.

Satelit China hampir berlanggar dengan dua satelit SpaceX milik Elon Musk

GAMBAR menunjukkan Stesen Angkasa Lepas Tiangong milik China. – China Manned Space Engineering Office

Tiangong merupakan pencapaian terbaharu dalam usaha China untuk menjadi kuasa besar angkasa lepas selepas Beijing mendaratkan kenderaan penerokaan di Planet Marikh dan menghantar kenderaan serupa ke Bulan.

Teras modul stesen angkasa lepas itu memasuki orbit pada tahun ini dengan Tiangong dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2022.

Pengguna media sosial China menyelar Musk dan syarikatnya berhubung insiden tersebut dengan satu tanda pagar mencatat 87 juta tontonan menjelang pagi tadi.

“Sungguh ironi kerana rakyat China berpusu-pusu membeli kereta Tesla dan menyumbangkan wang yang banyak supaya Musk boleh melancarkan Starlink sehingga nyaris melanggar stesen angkasa lepas China,” kata seorang pengguna media sosial.

“Bersedialah untuk memboikot Tesla,” kata pengguna media sosial lain.

Langkah memboikot jenama asing yang dianggap bercanggah dengan kepentingan China kerap dilakukan sebelum ini

Sementara itu, SpaceX masih belum mengulas tentang insiden tersebut.

BACA JUGA : Idea kerajaan import ayam dari luar untuk kurangkan harga akhirnya gagal
Kecoh Ibu Mentua kejar menantu dalam masjid, rupa-rupanya ini yang berlaku…

Artikel ini disiarkan pada 31/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)