Kira-kira 100,000 pengunjung disasar melawat Taman Burung Melaka pada tahun hadapan selepas ia mula dibuka semula pada November lepas, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.
Beliau berkata pelbagai penambahbaikan secara berperingkat dilakukan di taman rekreasi keluarga itu antaranya sangkar burung, penambahan spesies dan pelancaran Kelab Dinosaur Junior (Dino Jr) serta permainan berteknologi tinggi berasaskan ‘virtual reality’ (VR) dan ‘argumented reality’ (AR) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan syarikat tempatan, WeGrow Global.
Setakat ini, Taman Burung Melaka yang berkeluasan kira-kira 2.02 hektar termasuk kawasan parkir kenderaan itu kini menempatkan 23 spesies burung dengan jumlah 113 ekor termasuk enam spesies merak.
“Sejak ia dibuka semula pada 23 Nov lepas hingga semalam, 16,568 pengunjung telah melawat Taman Burung Melaka dan jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda menjelang akhir tahun ini.
“Taman Burung Melaka sebelum ini antara destinasi pelancongan popular dan mesti dilawati pelancong tempatan serta luar negara dan kita akan cuba membangunkannya semula dengan pelbagai tarikan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pembukaan Semula Taman Burung Melaka dan Kelab Dinasour di sini, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua MPHTJ, Mohd Rafee Ibrahim dan Penasihat Lembaga WeGrow Global, Datuk Mustaffa Shariff.
Tey berkata Taman Burung Melaka akan dibangunkan semula berasaskan konsep rekreasi, hiburan dan pendidikan untuk pengunjung taman tanpa mengira peringkat umur.
Beliau berkata pengunjung khususnya pelajar dapat didedahkan dengan penggunaan teknologi VR dan AR sekali gus menanam minat terhadap teknologi terkini dan berimpak tinggi.
“Replika dinasour yang ditempatkan di sini juga mampu menarik pelajar terhadap sejarah dan melihat sendiri secara dekat dinasour yang pernah ditemui di negara ini iaitu Spinosaurous di Pahang,” katanya.
Taman Burung Melaka yang terletak di Ayer Keroh di sini diambil alih MPHTJ daripada Syarikat Konsortium KKW Sdn Bhd pada tahun lepas kerana telah melanggar syarat serta perjanjian yang dipersetujui.
Tiket Taman Burung Melaka boleh dibeli dengan harga RM3 untuk kanak-kanak manakala RM6 untuk dewasa.