Sambutan pelajar terhadap PdPR mula merosot, kata pakar

Sambutan pelajar terhadap PdPR mula merosot, kata pakar

Kekangan akses Internet, motivasi merudum dan hilang minat terhadap kaedah pengajaran menyebabkan kehadiran murid dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semakin merosot, kata pakar pendidikan.

Melihat kepada trend membimbangkan itu, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menambah baik segera PdP antara guru dan murid supaya komunikasi dua hala berjalan dengan baik.

Malah, katanya, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memberi isyarat bahawa sektor sosial, termasuk pendidikan, hanya akan dibuka secara berperingkat bermula Fasa 3 pada September, iaitu dalam tiga bulan lagi.

“Salah satu isu utama PdPR dalam talian ialah ketidakhadiran murid dalam sesi. Selain tidak mempunyai akses Internet yang stabil, ramai guru mengakui segelintir murid sudah mengalami ‘keletihan PdPR’ menyebabkan kehadiran setiap kelas merosot.

“Mereka seperti semakin bosan dan tidak lagi bermotivasi untuk hadir dalam sesi PdPR dalam talian bersama guru. Kehadiran merosot khususnya dalam kalangan murid yang berprestasi rendah,” katanya kepada FMT.

Setelah melalui beberapa siri PdPR sejak tahun lalu, beliau berkata, amalan PdPR perlu ditambah baik segera supaya keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai.

“Ini sepatutnya diberikan perhatian oleh pihak KPM. Bagaimana untuk meningkatkan kembali motivasi pembelajaran murid?

“Malah lebih membimbangkan adalah PdPR secara dalam talian yang terlalu lama akan menyebabkan gangguan pada kesihatan dan penglihatan murid-murid dalam jangka panjang,” katanya.

Anuar turut mencadangkan tiga langkah yang boleh dipraktikkan warga pendidik untuk mengelak fenomena yang disebut sebagai ‘keletihan pembelajaran PdPR’ ini.

“Pertama, pelbagaikan kaedah PdPR selain secara dalam talian sahaja. Gunakan juga bahan pembelajaran bercetak, buku latihan dan video pendidikan.

“Kedua, bahagikan sesi PdPR dalam talian kepada tidak lebih 10 minit bagi setiap sesi pembelajaran, selain tingkatkan komunikasi dengan ibu bapa supaya dapat melihat perubahan tingkah laku murid-murid,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Nas Norziela Nasbah berkata, pelaksanaan PdPR pada dasarnya tidak gagal tetapi keberkesanan atau kesan pengajaran itu dikhuatiri tidak meresap dalam kehidupan anak-anak.

“Kelas dalam talian terlalu singkat dan aktiviti juga sangat terhad, anak-anak cepat bosan dan hilang fokus.

“Bayangkan anak-anak kita perlu lalui perkara ini berbulan-bulan,” katanya yang mengakui hanya dapat menemani anaknya menyertai kelas dalam talian Tahun 1, dua hari seminggu.

Suri rumah, Hatina Shuib pula berkata, emel atau nombor pengenalan diri (ID) yang disediakan KPM bagi setiap murid agak rumit, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai ramai anak yang bersekolah.

“Setiap murid perlu daftar masuk Google Meet melalui ID yang disediakan pihak kementerian, anak saya Tahun 1 perlu bergilir dengan kakaknya Tahun 3 untuk sertai kelas dalam talian kerana hanya ada satu komputer riba.

“Telefon mudah alih pula tidak mampu tampung aplikasi yang diperlukan,” katanya.

Beliau juga berkata, ibu bapa tidak bersemangat meneruskan PdPR pada sesi kali ini kerana sudah “penat” dan “letih” dengan pelbagai kelas PdPR sebelum ini.

“Saya hanya akan temani anak-anak jika mempunyai kelapangan dan tidak mahu terlalu mendesak seperti kelas-kelas sebelum ini, yang menyebabkan kami sebagai ibu bapa pula menjadi tekanan untuk menguruskan hal lain,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/19/kehadiran-merosot-murid-mula-bosan-dengan-pdpr-kata-pakar/