Salahuddin tidak campur dalam siasatan SPRM

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan setiausaha politiknya hari ini.

Dalam kenyataan malam ini, katanya, beliau dimaklumkan mengenai penahanan setiausaha politiknya.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak SPRM dan saya akan membiarkan undang-undang mengambil tempatnya,” katanya.

Menurutnya, setiausaha politik beliau adalah seperti rakyat Malaysia lain yang tertakluk kepada undang-undang.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang dan saya yakin dan percaya pihak SPRM akan menyiasat kes ini dengan adil dan bebas,” katanya.

SPRM menahan setiausaha politik berkenaan kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutasa jam tangan bernilai kira-kira RM28,000.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sumber memberitahu penerimaan jam tangan itu sebagai dorongan untuk membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek di bawah kementerian tersebut.