Sah !!! Ini bukan ‘Total Lockdown’ yang rakyat inginkan

Sah !!! Ini bukan ‘Total Lockdown’ yang rakyat inginkan

Niat saya menulis artikel ini bukanlah untuk menyokong atau menentang perlaksanaan “Total Lockdown” sepertimana yang diwar-warkan oleh kerajaan beberapa hari lalu.

Pendapat peribadi saya berhubung perlunya “Total Lockdown” sebagai langkah harus bagi membantut penularan tahap menggila wabak Covid-19 tidak relevan kepada artikel ini.

Niat saya menulis artikel ini adalah untuk mengetengahkan sebab “Total Lockdown” yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula 1hb Jun hingga 14hb Jun bukannya “Total Lockdown” dalam ertikata yang sebenar.

Setakat mana yang saya lihat, perlaksanaan “Total Lockdown” memerlukan penutupan hampir seluruh sektor perdagangan, perniagaan dan perindustrian melainkan yang benar-benar perlu melibatkan bahan makanan, penjanaan tenaga elektrik, bekalan air dan sebagainya.

Itu pun, rakyat seharusnya tidak dibenarkan keluar rumah di kawasan-kawasan berisiko tinggi, dan urusan membawa makanan kepada rakyat perlu diuruskan oleh kerajaan di kawasan-kawasan berkenaan.

Di kawasan di mana rakyat dibenarkan keluar rumah untuk membeli makanan, perlu ada pengawal-pengawal (dari rela, tentera dan sebagainya) di semua kawasan perniagaan bagi memastikan SOP dikawal ketat.

Itu baru “Total Lockdown” namanya.

Pihak kerajaan bersama-sama Majlis Keselamatan Negara turut perlu mendapatkan dan memperhalusi semua data terkini melibatkan sektor perdagangan, perniagaan dan perindustrian di negara ini dan data-data terkumpul berkaitan sektor-sektor ini sepanjang perlaksanaan PKP 1.0, PKP 2.0 dan PKP 3.0.

Data-data ini akan membolehkan kerajaan meminimakan kebenaran operasi bagi semua sektor, termasuk sektor yang dianggap kritikal atau tergolong sebagai sektor “keperluan asas.”

Proses memperhalusi data-data sebegini seharusnya melibatkan semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan agar kebenaran operasi di satu-satu kawasan hanya melibatkan sejumlah tertentu syarikat yang dikira perlu bagi menampung keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Sebagai contoh, jika satu pusat perniagaan di kawasan Petaling Jaya menjadi tumpuan 1,000 penduduk, dan jika pusat perniagaan tersebut mempunyai 10 kedai serbaneka dan 10 restoran, bilangan kedai yang dibenarkan beroperasi boleh dikurangkan berdasarkan perhitungan kasar keperluan semua penduduk di kawasan berkenaan.

Di sinilah MKN dan kerajaan boleh memanfaatkan data-data yang dikumpul sepanjang perlaksanaan PKP 1.0, PKP 2.0 dan PKP 3.0, melainkan data-data sebegini tidak pernah dikumpul.

Kerajaan turut perlu memikul tanggungjawab membantu setiap seorang rakyat Malaysia yang hilang kerja atau dipotong gaji dari sudut kewangan tanpa syarat melainkan mereka yang masih bekerja dan masih menerima gaji.

Saya fikir perkara ini sudahpun diumumkan oleh pihak kerajaan, namun bantuan yang diberikan turut perlu meliputi setiap satu syarikat atau perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi.

Kerajaan perlu juga mengambil kira peningkatan dalam bilangan syarikat yang terlibat dengan penyediaan bahan keperluan harian selepas PKP 1.0 dan PKP 2.0.

Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat syarikat yang mengubah konsep perniagaan mereka kepada kedai serbaneka atau kedai menjual bahan makanan segar bagi mengurangkan risiko kerugian dan memastikan mereka boleh terus beroperasi jika PKP dilaksanakan.

Saya sendiri melihat beberapa pemilik kedai makanan ‘dine in’ mengubah konsep mereka kepada kedai menjual bahan makanan segar, mungkin kerana mereka mengalami kerugian teruk setiap kali ‘dine in’ tidak dibenarkan.

Ini kadangkala menyebabkan peningkatan mendadak dalam jumlah kedai serbaneka atau kedai menjual bahan makanan segar di satu-satu kawasan, jauh melebihi bilangan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Saya terkejut apabila diberitahu bahawa MITI setakat hari ini membenarkan hampir 100,000 syarikat untuk beroperasi dalam tempoh “Total Lockdown.”

Saya kira banyak jenis syarikat boleh dihentikan operasinya dalam tempoh dua minggu ini jika benar niat kerajaan adalah untuk melaksanakan “Total Lockdown.”

Sebagai contoh, kita tidak perlu membenarkan syarikat pembuat, pengedar atau penjual biskut, kek, burger atau minuman mahal berupa ‘lifestyle’ beroperasi di satu-satu daerah.

Saya kira banyak syarikat pembuat atau pembekal bahan makanan yang dianggap tidak kritikal bagi kelangsungan hidup seseorang tidak diperlukan buat masa ini dan boleh dihentikan operasinya buat sementara waktu.

Untuk itu, kerajaan perlu menakrifkan semula apa yang dimaksudkan dengan “keperluan asas” agar rakyat boleh dididik untuk berjimat cermat dalam keadaan genting ini dan tidak keluar untuk membeli sesuatu yang tidak penting.

Banyak lagi perkara selain daripada yang tertera di atas harus dipertimbangkan jika benar kerajaan berharap rakyat percaya apa yang dilaksanakan adalah “Total Lockdown.”

Jika tidak, saya rasa elok kerajaan mengisytiharkan bahawa penggunaan istilah “Total Lockdown” merupakan satu kesilapan agar rakyat tidak keliru atau didendangkan dengan sesuatu yang tidak benar.

Berita Penuh :https://www.thethirdforce.net/ini-bukan-total-lockdown/