Sah !!! 124 bahagian Umno tolak Bersatu

Sah !!! 124 bahagian Umno tolak Bersatu

Sebanyak 124 bahagian UMNO mengemuka usul menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ialah sebab utama UMNO menghentikan kerjasama dengan BERSATU.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keputusan itu bukan disebabkan kluster mahkamah, merujuk kepada pendakwaan dihadapi beberapa pemimpin UMNO ketika ini.

“Ia lebih peristiwa yang berlaku di bahagian masing-masing. Ada contoh paling jelas. 15 bekas pemimpin (UMNO) bahagian yang sebelum ini menjadi Ahli Parlimen didokong oleh UMNO, kemudian berhijrah ke BERSATU. Bahagian itu tentulah sukar bekerjasama dengan BERSATU.

“Di Labuan misalnya, ketua bahagiannya dulu orang kita. Tiba-tiba diangkat jadi Ahli Parlimen Labuan, kemudian lari dari barisan. Tentulah UMNO Labuan marah. Ada ketua bahagian yang kalah bertanding (dalam pemilihan UMNO lalu), lantas keluar mencari tempat lain dan menjadi Ketua Bahagian BERSATU.

“Jadi, ini semua urusan yang berlaku di bawah yang melihat isu spesifik masing-masing. Ia tidak ada kena mengena dengan kluster mahkamah. Sentimen di bahagian masing-masing yang menyebabkan perkara (penolakan) ini berlaku,” katanya dalam program temu bual sempena Persiapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Ahmad berkata, usul penolakan BERSATU diterima UMNO pada asalnya 118 usul, kemudian menjadi 124 usul apabila enam bahagian lewat menghantarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian, menjelaskan isu kerjasama dengan BERSATU menjadi perkara yang subjektif dan ia tidak seharusnya dimomokkan kononnya UMNO menolak penyatuan ummah.

“Penyatuan ummah sudah kita mulakan pada ketika UMNO dan PAS menjadi pembangkang dulu. Ketika itu BERSATU masih bersama DAP, bersama dengan PH (Pakatan Harapan).

“Pada 2018 dan 2019, UMNO dan PAS sudah menyatukan dan sehingga kini, UMNO dan PAS ingin perkara itu diteruskan. Nak tuduh UMNO (tolak penyatuan) itu tidak benar.

“Dalam hubungan dengan BERSATU ini, ia perlu difahami dari sudut serpihan daripada UMNO, dan BERSATU ini ditunjangi bekas pemimpin UMNO. Tentulah dalam tempoh singkat ini, luka masih berdarah. Kita manusia ada perasaan,” katanya.

Beliau berkata, pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan baru politik mengelirukan pelbagai pihak khususnya penyokong Barisan Nasional (BN), juga rakyat.

“PN ini pada asalnya yang dipersetujui adalah dokongan oleh ahli politik. Namun, PN ini menjadi keliru apabila ia didaftarkan sebagai parti politik. Sebelum itu, tidak keliru kerana ia disebut sebagai kerajaan berbagai parti. Tapi kalau nama PN sudah berdaftar, kita (BN) pula tidak ada dalam parti itu.

“Kenapa BN dan UMNO tidak berada dalam PN? Kerana kita sudah berada dalam BN. UMNO sudah berada dalam komponen BN, Jadi tidak perlu jadi satu komponen dalam parti komponen yang lain. Panggilan kerajaan PN sekarang mungkin tidak tepat sebab BN tidak ada di dalamnya. GPS (Gabungan Parti Sarawak) juga tidak ada di dalamnya. Seeloknya disebut kerajaan campuran BN, PN dan GPS,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2021/03/795122/124-bahagian-umno-tolak-bersatu