Saf solat sudah dibenarkan rapat seperti asal di Perlis

Saf solat sudah dibenarkan rapat seperti asal di Perlis.Semua masjid di Perlis kecuali surau atau tempat solat umum akan mula bersolat jemaah dengan merapatkan saf berkuat kuasa solat Subuh, Sabtu ini.

Seperti dipetik dari FMT, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah, keputusan itu mendapat limpah perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selepas meneliti perkembangan semasa Covid-19 di negeri berkenaan.

“Selain itu, peratusan tinggi vaksinasi lengkap dan peningkatan dos penggalak yang mencapai kadar 16.9% atau 30,575 penerima berdasarkan maklumat terkini pada 2 Jan lalu dan didapati penularan wabak di Perlis berada dalam keadaan terkawal.

“Sehubungan itu, baginda mempertimbang dengan penuh hikmah dan teliti serta menilai dengan penuh bijaksana dan berhati-hati dalam menjalankan tanggungjawab Raja Pemerintah dan Ketua Agama Negeri,” titahnya menurut laporan Berita Harian.

Syed Faizuddin bertitah, kebenaran bersyarat merapatkan saf solat berjemaah di masjid seluruh Perlis berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

“Kebenaran ini adalah kepada semua masjid di seluruh Perlis sahaja, manakala surau atau tempat solat umum atau awam kekal tidak dibuka (solat berjemaah merapatkan saf),” titahnya.

Titahnya, larangan berkenaan termasuk surau atau tempat solat di agensi, institusi, maahad tahfiz dan sebagainya.

“…melainkan dengan kebenaran khas daripada MAIPs dan melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs),” titah baginda.

Solat merapatkan saf memerlukan jemaah mematuhi beberapa peraturan seperti kadar jarak sejadah masing-masing adalah berdasarkan saiz sejadah standard dan tidak berlaku sentuhan fizikal.

Bagaimanapun, jemaah tinggal serumah tidak terikat dengan syarat berkenaan dan dari segi pengekalan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, ia hendaklah kekal dipatuhi setiap masa ketika selesai solat, mendengar kuliah dan sepanjang tempoh berada di masjid.

“Pematuhan SOP masih perlu diteruskan seperti kekal melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1m, memakai pelitup separuh muka dan digalakkan pelitup muka jenis N95 atau K95 serta memakai dua pelitup muka atau ‘double face mask’ yang ditambah baik dengan pemakaian pelindung muka atau ‘face shield’,” titahnya.

Baginda bertitah, selain itu jemaah masih perlu membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke masjid, mengimbas suhu badan dan merekodkan penjejakan sosial dengan mengimbas Kod QR aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku disediakan,” titah baginda.

Baginda bertitah, pematuhan SOP masih diperketatkan dan tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman.

“Jemaah yang menerima suntikan vaksin lengkap, sama ada dewasa, kanak-kanak atau warga emas dibenarkan hadir ke masjid. Namun, pegawai bertugas dan jemaah kekal dilarang hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berstatus PUI (individu di bawah siasatan), PUS (pesakit dalam pemantauan) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti,” titahnya.

Syed Faizuddin bertitah, golongan mempunyai gejala demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selesema dan sebagainya juga dilarang hadir ke masjid.

Titahnya, semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP kesihatan dan keselamatan yang berkuat kuasa.

Raja Muda Perlis berharap seluruh rakyat negeri itu sentiasa mematuhi SOP dan ketetapan yang diperkenankan itu..

BACA:

Video kesedaran rasuah SPRM ditempelak Persatuan Doktor
Gempar !!! Saman 1MDB : Jho Low bakal buat penampilan pertama di mahkamah?
Foto kereta sedan model terbaru Perodua kini tular

Artikel ini disiarkan pada 06/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)