Sabah bakal guna vaksin CanSino, hanya perlu suntik 1 dos

Sabah bakal guna vaksin CanSino, hanya perlu suntik 1 dos

Sabah diberi keutamaan untuk menerima vaksin dos tunggal, CanSino yang dijangka tiba di Malaysia pada bulan hadapan.

Itu jaminan yang diberikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam pertemuan secara maya hari ini.

Hajiji berkata, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu menyatakan akan membuat penghantaran pertama untuk Sabah apabila tiga juta vaksin CanSino itu tiba pada bulan hadapan.

Malah katanya, Sabah juga diberikan pilihan untuk menerima satu lagi vaksin dos tunggal iaitu Johnson & Johnson.

Khairy memaklumkan perkara itu sebagai maklum balas terhadap permintaan Sabah untuk mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin.

Langkah penting bagi mencapai sasaran 60 peratus penduduk Sabah divaksin menjelang Oktober dan seterusnya mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

“Penting bagi kita untuk terus menjangkau masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil yang berdepan kesukaran kerana keadaan muka bumi yang agak sukar dan jauh,” katanya

Tambah Hajiji, Sabah membuka sebanyak 177 pusat pemberian vaksin (PPV) dan dengan kemudahan bergerak jerayawara (mobile outreach) serta program vaksinasi medic tentera darat, negeri ini berada di landasan tepat untuk memastikan lebih ramai rakyat menerima vaksin.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin, menjelaskan bahawa PPV Integrasi pertama Sabah akan bermula minggu hadapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

PPV Integrasi akan memberi vaksin secara percuma dan membenarkan hospital swasta membantu untuk mempercepatkan proses vaksinasi sekali gus mengurangkan beban yang dihadapi hospital awam ketika ini.

Turut hadir dalam pertemuan maya itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Bersama Khairy ialah Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/07/sabah-diberi-keutamaan-terima-vaksin-dos-tunggal-cansino/

BACA JUGA : Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lumut guna kaedah ‘barter trade’ bantu penduduk