Rupanya Inilah Punca Pas Umno Tarik Brek, Bukanlah Sebab Dap

Rupanya Inilah Punca Pas Umno Tarik Brek, Bukanlah Sebab Dap

Umno dan PAS tidak menuntut supaya DAP dikecualikan daripada kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad, kata ketua biro strategi dan dasar Bersatu Rais Hussin.

Dalam temu bual dengan  Astro Awani  malam semalam, Rais berkata hanya ada dua syarat yang dikemukakan.

Beliau berkata syarat pertama ialah Umno dan PAS mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran secara  en bloc  atau keseluruhan.

Syarat kedua ialah mereka mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan pada kadar segera.

“Mereka mempersalahkan DAP untuk segala-galanya. Bagi saya, semua orang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Kita akan meningkatkan kekuatan dan mengatasi kelemahan yang ada.

“Mereka kata DAP adalah alasan mengapa mereka tidak dapat menerima kerajaan perpaduan, tetapi rundingan itu bukan begitu. Rundingan itu sangat jelas.

“Pertama,  en bloc , kedua, segera, fikirkanlah, mengapa mesti segera? Bukan dua atau tiga bulan kemudian? Kami fikir ini ada kaitan dengan kes mahkamah yang sedang dijalankan,” kata Rais.

Petang semalam, Umno dan PAS mengadakan sidang akhbar bersama untuk mengumumkan bahawa mereka menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan perpaduan atas dua sebab.

Pertama, mereka tidak mahu berada dalam kerajaan perpaduan dengan DAP dan kedua, mereka mahu semua ahli parlimen dari parti masing-masing diterima dalam kerajaan perpaduan dan bukannya hanya beberapa pemimpin yang terpilih.

Oleh kerana rundingan tidak menjadi, Umno dan PAS berkata mereka menarik balik sokongan mereka kepada Mahathir sebagai ketua kerajaan perpaduan.