Rundingan kerusi dengan Bersatu rumit – Mat Hassan

Rundingan kerusi dengan Bersatu rumit – Mat Hassan

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata rundingan pembahagian kerusi dalam Umno hampir selesai dan menjangkakan rundingan sama berjalan lancar antara parti komponen BN serta PAS.

Bagaimanapun, Mohamad tidak membayangkan situasi sama dalam rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu.

“Dalam Umno sudah hampir selesai tetapi kita belum memutuskan dengan BN dan dengan PAS masih belum lagi berunding, masih ada masa lagi.

“Saya tidak nampak ada masalah dalam BN dan juga pembahagian kerusi dengan PAS tetapi kompleks nanti (pembahagian kerusi) dengan Bersatu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mohamad berkata, pihaknya berharap dapat menyelesaikan rundingan itu pada akhir September.

Buat masa ini, Umno, PAS, dan Bersatu komited untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sebagai satu gabungan untuk mengelak daripada saling bertembung.

Namun, hubungan antara ketiga-tiga pihak adalah rumit.

Bersatu menerajui gabungan Perikatan Nasional (PN) yang secara rasmi tidak termasuk Umno.

Sementara itu, Umno berada dalam pakatan rasmi Muafakat Nasional dengan PAS.

PAS secara rasmi adalah sebahagian daripada PN, sementara Umno mengetuai gabungan lain yang terdiri daripada BN dengan MCA, MIC, dan PBRS.

Setakat ini, telah ditetapkan bahawa peraturan dasar BN untuk perbincangan kerusi antara parti adalah seperti berikut:

1) BN mesti meletakkan calon untuk semua 51 kerusi yang dimenanginya pada 2018;

2) BN tidak akan meletakkan calon untuk 13 kerusi yang dimenangi Bersatu pada 2018; dan

3) BN akan meletakkan calon untuk sebarang kerusi yang dimenangi PKR, DAP, dan Amanah pada 2018 di mana BN menduduki tempat kedua.

Sementara itu, Mohamad berkata, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob telah diberi tugasuntuk memimpin rundingan antara pihak yang terlibat.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/541035

COMMENTS