Rombakan kabinet hanya khabar angin.Spekulasi berhubung rombakan Kabinet yang kononnya akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini hanya khabar angin, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Hadi menyifatkan laporan tersebut yang hangat diperkatakan adalah tidak tepat, bahkan tidak ada keperluan untuk Ismail Sabri mengambil langkah sedemikian memandangkan prestasi kalangan Menteri dan Timbalan Menteri dilihat berjaya menggalas tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik.
Menurut beliau, desas-desus perubahan dalam barisan Kabinet itu berkemungkinan hanya khabar angin kerana beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.
“Saya tidak dengar (tentang rombakan), kebiasaannya kalau ada apa-apa Perdana Menteri akan berbincang dahulu, tetapi apabila tiada maklumat, mungkin itu khabar angin.
“Saya rasa tidak perlu rombakan kerana masing-masing (menteri) masih menjalankan tugas dengan baik, tetapi terpulang kepada Perdana Menteri jika mahu membuat penambahbaikan,” katanya hari ini.
Terdahulu, Hadi menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Terengganu.
Sebelum ini, media mendedahkan setelah hampir lima bulan menerajui Kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri dijangka melakukan rombakan Kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu hadapan.
BACA: Penjelasan isu saham oleh Azam Baki disambut baik oleh PAS
Bagaimanapun, rombakan berkenaan masih dalam proses tawar-menawar untuk memutuskan siapa kekal, siapa ganti atau siapa digugurkan.
Namun, baru-baru ini Ismail Sabri berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada mulutnya berhubung perkara itu, orang ramai boleh menganggap cerita berkenaan sebagai spekulasi.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Hadi menyerahkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.
“Kalau Perdana Menteri merasakan perlu pembantu, terpulang kepada beliau kerana beliau yang menjalankan tugas,” katanya.