RM6,000 peruntukan bantu 55 kanak-kanak sempena program ‘Kembali Ke Sekolah’

Bagi meraikan golongan memerlukan sempena program ‘Kembali Ke Sekolah’, Majlis Perbandaran Subang memperuntukkan hampir RM6,000 bantuan persekolahan kepada seramai 55 orang kanak-kanak dari Kampung Seri Langkas Puchong, hari ini.

Abbas berucap sebelum menyampaikan sumbangan bantuan dalam program ‘Kembali Ke Sekolah’ di Kampung Seri Langkas Puchong, hari ini.

Ahli Majlisnya, Abbas Salimmi Datuk Adzmi berkata, sumbangan tersebut bagi membantu persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan 4 Januari depan yang bertujuan meringankan beban keluarga dari golongan berpendapatan rendah.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu juga berkata, bantuan yang diberikan diharapkan agar dapat memberi semangat kepada anak-anak untuk memulakan hari persekolahan merekaml.

“Ini masanya kita beri tumpuan pendidikan pada mereka. Tanpa pendidikan, nasib anak-anak ini akan menjadi sia-sia kerana mereka merupakan aset terpenting yang akan menjadi generasi pelapis menggantikan pemimpin hari ini.

“Dengan keadaan ekonomi dan sosial yang sangat mencabar, kita perlu beri pertimbangan khusus agar mereka membesar dalam keadaan yang baik dan tidak seorang pun tercicir dari mendapat peluang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian, dalam program Kampung Angkat, Sumbangan Jom Kembali Ke Sekolah Zon 12 MPSJ, di Masjid Al-Istiqamah, Kampung Seri Langkas, Puchong.

Tambah Abbas lagi, tanggungjawab membantu murid miskin bukan sahaja perlu dipikul oleh guru-guru, malah menjadi tanggungjawab masyarakat khususnya ibu bapa dalam memastikan anak-anak memperoleh pendidikan yang sepatutnya.

“Kita sangat menitikberatkan pendidikan dan kebajikan anak-anak khususnya kerajaan Negeri Selangor di bawah PH yang sangat mementingkan pembinaan anak-anak.

“Jadi, ibu bapa perlu diberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan kepada anak-anak dengan tidak mengabaikan keperluan mereka,” ujarnya.

Hari ini, pelajar terlibat yang daripada keluarga kumpulan B40, masing-masing menerima beberapa barangan kelengkapan persekolahan meliputi beg sekolah, alat tulis, termasuk wang tunai.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/rm6000-peruntukan-bantu-55-kanak-kanak-sempena-program-kembali-ke-sekolah/