RM100 000 bantuan kelengkapan persekolahan Parlimen Parit Buntar

RM100 000 bantuan kelengkapan persekolahan Parlimen Parit Buntar

Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk ahli korporat dan NGO yang membantu keluarga miskin menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan 2021.

Dr Mujahid berkata, hasil sumbangan pelbagai pihak, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar dapat memperuntukkan lebih RM 100 000.00 untuk bantuan kelengkapan persekolahan kepada 700 pelajar yang melibatkan tiga fasa penyerahan pada tahun ini.

“ Fasa pertama, membabitkan penyerahan baucar di empat lokasi termasuk pada hari ini di mana, seramai 50 pelajar menerima baucar untuk membeli kelengkapan sekolah masing-masing

“Fasa kedua akan diadakan pada minggu hadapan, manakala fasa ketiga melibatkan pelajar yang tercicir menerima bantuan,” katanya ketika ditemui pada program serahan baucar bagi program Back To School di Pasaraya Mydin di sini, semalam

Dr Mujahid berkata, walaupun bukan lagi menjadi wakil rakyat kerajaan, beliau tetap mengambil inisiatif bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dalam Parlimen Parit Buntar.

“Bantuan pakaian seragam sekolah ini adalah sebahagian daripada program bantuan yang kita berikan kepada penduduk berpendapatan rendah dalam kawasan ini sepanjang tahun.

“Selain itu, hampir setiap bulan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar menghulurkan sumbangan barangan keperluan dapur kepada golongan memerlukan,” katanya.

Dr Mujahid dan isteri , Zuraida Husin turut meluangkan masa menyantuni pelajar bersama ibu bapa yang hadir menerima baucar.

Turut hadir meraikan pelajar ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad, Penyelaras DUN Titi Serong, Mohd Adnan Ghazali dan Ketua Pemuda AMANAH Parit Buntar, Muhamad Nakhaei Abdul Wahab.

Dr Mujahid berkata, program itu memberi semangat dan menceriakan pelajar terbabit sebelum memulakan sesi persekolahan 2021.

“Kita membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan bagi penyediaan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka sebagai salah satu program peduli rakyat.

“Ini bagi membolehkan anak-anak mereka tidak merasa terpinggir akibat kekurangan kelengkapan persekolahan sepertimana pelajar lain apabila mula bersekolah kelak,” katanya.

Sementara itu, salah seorang bapa, Zakaria Saad, 51, berkata, dia lega apabila anaknya menerima baucar pembelian pakaian seragam sekolah itu.

“Dengan pendapatan rendah, perbelanjaan untuk sediakan kelengkapan sekolah anak-anak cukup membebankan.

“Saya ucap terima kasih kepada wakil rakyat kerana tanpa bantuan sebegini, kami terpaksa berbelanja lebih untuk keperluan sekolah anak-anak,” katanya.