Ribuan peminat ‘serang’ rumah Shah Rukh Khan sempena hari lahir 57. RAJA Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan menyambut hari lahir ke-57 pada 2 November dengan meriah apabila ribuan peminat berkumpul di hadapan rumahnya semata-mata untuk meraikannya bersama.
Kehadiran peminat yang bukan sahaja di daerah tersebut, malah dari luar negara adalah aktiviti tahunan peminat-peminatnya dari seluruh dunia.
“Sungguh indah hidup di hadapan laut, lautan cinta yang tersebar di sekeliling saya pada ulang tahun kelahiran, terima kasih. Bersyukur kerana membuat saya berasa begitu istimewa dan gembira,” kongsinya.
Dalam satu hantaran lain pelakon Dil To Pagal Hai itu turut menyatakan penghargaan buat para peminat.
“Lautan cinta seperti yang saya lihat. Terima kasih semua kerana selalu berada bersama saya dan menjadikan hari ini begitu istimewa. Terima kasih dan hanya cinta untuk anda semua,” titip pelakon Kuch Kuch Hota Hai itu di Instagram.
Sebuah video dimuat naik memperlihatkan Shah Rukh tampil ke ruangan balkoni melambai kepada peminat yang berkumpul di hadapan kediamannya di Bandra, Mumbai.
Difahamkan ribuan peminat akan berkumpul sejak awal menanti sehingga pelakon itu muncul dan menyapa mereka.
Pihak berkuasa polis turut mengawal perkarangan kediaman aktor itu bagi menjaga keamanan pada aktiviti tahunan itu.
Menurut laporan, ramai peminat Shah Rukh dari luar negara telah terbang ke Mumbai untuk menyambut kelahiran bintang kesayangan mereka. Ada yang datang dari negara seperti Belanda, Switzerland, Perancis, Nepal, Belgium, UK dan banyak lagi.
Seorang peminat bernama Monika Bucher dari Switzerland memberitahu portal berita beliau sanggup ke India untuk berada dekat dengan aktor kegemarannya.
“Saya gembira mengetahui bahawa saya akan berada dekat dengan Shah Rukh pada ulang tahun kelahirannya. Kami berada di sini menunjukkan bahawa beliau mempunyai peminat di seluruh dunia.” katanya.
idak hanya di India, Burj Khalifa juga turut menyalakan lampu sempena hari lahir bintang Bollywood itu.
Shah Rukh mula berlakon pada tahun 1988 dan kekal relevan dalam industri sehingga ke hari ini. Antara filem popular lakonannya ialah Dilwale Dulhania Le Jayenge (1995), Dil To Pagal Hai (1997), Kuch Kuch Hota Hai (1998), Mohabbatein (2000), Devdas (2002) dan Kabhi Khushi Kabhie Gham (2001).
Lihat siaran ini di Instagram