Rekonsiliasi Nasional Atau Menuju Pemerintahan Autokratik?

1. Poster ini sangat ideal. Tetapi menimbulkan banyak persoalan yang sangat penting untuk diteliti dan dilihat kesan jangka panjangnya.Lantikan anggota kabinet iaitu Menteri-Menteri berada pada tangan Perdana Menteri secara sepenuhnya tanpa campur tangan parti-parti politik. Ini memberikan ‘absolute power’ kepada seorang Perdana Menteri. “Absolute power corrupts absolutely”.

2. Kepercayaan penuh diberikan kepada PM tanpa meletakkan had tempoh masa. Ini lagilah bermasalah sedangkan kerajaan PH sendiri sebelum ini sudah dalam usaha untuk menghadkan tempoh untuk semua Perdana Menteri hanya terhad kepada dua penggal sahaja. Menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang lama membawa masalah yang pelbagai. Pengaruh dan kuasa yang tidak mampu dikawal.

3. Menteri-Menteri bebas melaksanakan tugas dan dasar tanpa pengaruh parti politik katanya. Tetapi perlu diingat, anggota kabinet ini dilantik oleh Perdana Menteri tanpa dokongan atau campur tangan parti. Jadi, apa jaminan bahawa semua anggota kabinet yang dilantik ini boleh benar-benar ‘bebas’? Bukankah mereka ini akan terikat dan terpaksa tunduk kepada Perdana Menteri yang melantik mereka secara penuh? Mereka perlu menjaga ‘kepentingan jawatan’ mereka yang berada di tangan Perdana Menteri. Apatah lagi sudah tidak ada pengaruh dan tekanan dari parti-parti politik untuk menyeimbangkan segala keputusan-keputusan yang dibuat. Maka, sistem ini cenderung untuk melahirkan pemerintahan Perdana Menteri yang autokratik dan melahirkan para ahli kabinet, anggota Jemaah Menteri yang tidak akan berani membantah mahupun menegur seorang Perdana Menteri lagi. Berbanding sistem sekarang, di mana parti-parti politik masih juga mempunyai pengaruh dan boleh memberikan tekanan kepada kabinet kerajaan jika didapati keputusan atau dasar itu memberikan kesan yang tidak baik kepada rakyat secara keseluruhannya.

4. Parti politik juga memikirkan tentang rakyat dan negara. Itu tujuan utama parti politik. Bukan hanya seorang Perdana Menteri interim yang memikirkan tentang ini.

Sekian.

Fatimah Al-Fihri, LL. B (Hons) UIAM