RCI TH tak libatkan siasatan ketika pentadbiran PN – Marzuk

RCI TH tak libatkan siasatan ketika pentadbiran PN – Marzuk

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak membabitkan siasatan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Katanya, ini kerana pentadbiran PN masih baru dan kerajaan tidak mahu RCI berkenaan membantutkan pelan pemulihan terhadap Tabung Haji.

“Ini kerana kita belum melaksanakan berdasarkan pelan yang kita sediakan dan kita tidak mahu dengan adanya RCI akan membantutkan usaha untuk menambah baik Tabung Haji serta meningkatkan keyakinan terhadap pendeposit.

rci

“Mengenai terma RCI, ia masih terlalu awal dan perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa yang terbabit,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bakul makanan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan RCI Tabung Haji mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Tabung Haji, hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Menurutnya, antara terma RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Sementara itu Ahmad Marzuk berkata, RCI terbabit dijamin akan dilaksanakan secara telus dan jujur.

“Dengan persetujuan Perdana Menteri, RCI Tabung Haji akan dilaksanakan dalam tempoh 2014 hingga 2020 iaitu termasuk hampir dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Ia akan membabitkan semua urusan Tabung Haji termasuk berkaitan pemindahan aset,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/583557

BACA JUGA : Muhyiddin sudah melayakkan Ismail Sabri jadi PM, kata veteran Umno