Rayuan Sumbangan Untuk Rakyat Parit Buntar -Mujahid

Rayuan Sumbangan Untuk Rakyat Parit Buntar -Mujahid

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 telah disambung sehingga 14 April. Perintah ini yang telah bermula sejak 18 Mac yang lalu menyebabkan ramai di kalangan rakyat terutamanya yang miskin serta bergaji harian tidak mampu keluar rumah untuk mencari rezeki. Justeru sudah tentulah banyak kesan yang akan berlaku terhadap mereka khususnya keperluan barangan makanan.


Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat dengan sedaya upaya walaupun melalui peruntukan yang amat terhad. Apa yang penting adalah usaha menyalurkan sumbangan keperluan asas makanan kepada penduduk Parit Buntar yang telah terputus beberapa hari yang lalu.


Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa telah memperuntukkan sejumlah RM50,000.00 agar penduduk miskin yang terputus bekalan makanan, para barisan hadapan yang berkhidmat, golongan peniaga-peniaga kecil serta nelayan miskin pesisir pantai dapat diberi perhatian khusus selama tempoh PKP ini.


Segala peruntukan untuk membantu mereka yang memerlukan ini telah pun bermula sejak 23 Mac yang lalu dan akan diteruskan sehingga 14 April depan.


“Bekalan keperluan asas makanan seperti beras dan makanan akan disalurkan melalui wakil Pusat Khidmat Parlimen di kawasan bandar, separa bandar dan kampung-kampung. Kita mensasarkan 2,000 keluarga dapat menerima bantuan keperluan asas ini. Semoga ia dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” kata Dr Mujahid.


“Para barisan hadapan yang berkhidmat di kawasan Parit Buntar juga kami akan salurkan makanan bermasak setiap hari sehinggalah 14 April ini.” tambahnya lagi


Beliau turut merayu jika ada para penyumbang yang prihatin dan ingin turut sama menyumbang melalui Pusat Khidmat amatlah dialu-alukan. Mereka boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 08022010050832 atas nama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar. Mereka yang berhasrat menyumbang boleh menghubungi ditalian 05-7166520 (pejabat), 013-2279632 (Naim) atau 013-5813634 (Nizam).