Rasuah politik perlu dicantas dari atas, libatkan semua pihak

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berpendapat tempoh darurat perlu digunakan untuk menggubal undang-undang baru bagi membendung isu rasuah politik.

Katanya, terdapat persepsi umum bahawa isu rasuah politik hanya sekadar membabitkan kesalahan bekas perdana menteri Najib Razak dan Umno semata-mata.

“Ini bukan bermaksud tiada rasuah di kalangan penjawat awam dan pegawai penguat kuasa. Tetapi kita harus bermula dari atas.

“Sekiranya kita serius untuk membendung rasuah, moral sahaja tidak mencukupi. Luluskan undang-undang baru seperti yang disarankan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mengakui bahawa ia menjadi tugas yang berat, Zaid berkata rasuah politik kini berakar umbi di kalangan elit dan ahli politik.

“Ia perlu bermula dari atas untuk mengubah mereka,” katanya.

Terdahulu, Zaid menerusi Twitter berkata undang-undang baru perlu mewajibkan sumbangan politik diisytiharkan kepada umum, manakala penderma dikenal pasti dan akaun parti politik diaudit sepenuhnya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Najib dalam satu mesyuarat kabinet pada tahun 2010 telah mengarahkan anggota kabinet merahsiakan mengenai dakwaan derma dari putera mahkota Arab Saudi, Saud Abdulaziz Al-Saud kepada Yayasan 1MDB.

Saksi pendakwaan, Mazidah Abdul Majid, yang merupakan bekas timbalan ketua setiausaha kabinet, memberitahu mahkamah bahawa bekas perdana menteri itu berkata putera Saud meminta agar perkara itu dirahsiakan.

Mazidah berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan rasuah membabitkan Najib yang didakwa menyelewengkan dana bernilai RM2.28 milik 1MDB.

Pada perbicaraan pada 27 Sept 2019, pihak pendakwa mengemukakan empat cek yang didakwa dikeluarkan oleh anggota keluarga kerajaan Arab kepada Yayasan 1MDB.

Cek yang bertarikh 2010 dan berjumlah AS$ 25 juta setiap satu itu bagaimanapun tidak pernah ditunaikan.

Pihak pendakwaan berpendapat cek berkenaan, yang didakwa dikeluarkan oleh Putera Saud Abdulaziz dan Putera Faisal Turki, dan dikatakan diserahkan kepada Jho Low, digunakan bagi menyembunyikan sumber dana lebih RM2 bilion yang ditemui dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebelum ini memberi keterangan bahawa dia menerima cek berkenaan dari Low untuk disimpan.

Najib dibicarakan atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Selain bekas perdana menteri, Najib juga merupakan bekas menteri kewangan dan bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562615

COMMENTS

Wordpress (0)