Rampasan kuasa : Para doktor di Myanmar lancar mogok

Kakitangan 70 hospital dan jabatan perubatan di 30 bandar di sekitar Myanmar tidak bekerja hari ini sebagai protes terhadap rampasan kuasa yang menggulingkan pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi, kata Myanmar Civil Disobedience Movement (pergerakan keingkaran awam).

Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata tentera telah meletakkan kepentingannya mengatasi populasi yang lemah dalam pada negara itu berdepan pandemik virus korona.

Virus itu membunuh lebih 3,100 orang di Myanmar, antara kadar kematian tertinggi di Asia Tenggara.

“Kami enggan mematuhi perintah rejim tentera tidak sah yang menunjukkan mereka tidak pedulikan pesakit kami,” kata kenyataan kumpulan yang membuat bantahan itu.

Empat doktor mengesahkan telah berhenti bertugas, tetapi tidak mahu dikenali.

“Saya mahu tentera ini kembali ke berek mereka, dan disebabkan itu kami para doktor tidak pergi ke hospital,” kata seorang doktor berusia 29 tahun di Yangon kepada Reuters. “Saya tidak tahu berapa lama akan mogok, bergantung kepada keadaan.”

Kumpulan pelajar dan belia turut menyertai kempen pengingkaran awam itu.

Tentera merampas kuasa pada Isnin seterusnya membantutkan peralihan ke arah pemerintahan demokrasi, atas alasan berlaku penipuan dalam pilihan raya November lalu yang berakhir dengan kemenangan besar parti pimpinan Suu Kyi, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Rampasan kuasa itu dikecam Amerika Syarikat dan negara Barat lain selepas Suu Kyi dan puluhan pemimpin lain ditahan pihak tentera.

Junta kemudian mendedahkan majlis pentadbiran baru merangkumi lapan jeneral dan diketuai ketua tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, tidak ubah seperti yang memerintah Myanmar selama hampir separuh abad sehingga 2011.

Suu Kyi, 75, masih dalam tahanan walaupun pelbagai pihak antarabangsa mendesak pembebasannya dengan segera. Seorang pegawai NLD dipetik berkata, Suu Kyi ditahan di rumahnya di ibu negara dan dalam keadaan baik. Dalam protes awam terbesar terhadap rampasan keluarga itu setakat ini, penduduk di hab komersial Yangon melaung ‘nyah kejahatan’ dan memukul periuk pada lewat Selasa, iaitu amalan tradisi untuk mengusir kejahatan atau karma buruk. –FMT

COMMENTS

Wordpress (0)