Ramai mengeluh pusat vaksinasi utama KL ‘kelam kabut’ di hujung minggu

Ramai mengeluh pusat vaksinasi utama KL ‘kelam kabut’ di hujung minggu

Pengurusan, penyelarasan, dan komunikasi lemah menyebabkan proses vaksinasi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini bercelaru.

Dengan 16,200 orang dijadualkan divaksin di sini pada hujung minggu ini, kelihatan hanya sedikit persediaan dilakukan untuk menerima kehadiran orang ramai.

Tiada tanda di lantai untuk menunjukkan di mana penerima vaksin sepatutnya berdiri, dengan ramai yang tidak jelas sama ada mereka perlu beratur untuk memasuki satu-satunya pintu yang dibuka atau berjalan terus ke hadapan.

“Berapa hari mereka gunakan untuk membuat persediaan? Ia sangat kucar-kacir,” kata seorang lelaki yang enggan dinamakan ketika melihat sekeliling kerana keliru di mana beliau patut menunggu untuk janji temunya.

Sebahagian penerima beratur dalam barisan tidak teratur, tetapi ada kumpulan tertentu yang diarah mendahului mereka.
Anggota polis, tentera dan penganjur kelihatan tidak seiring, dengan ada yang menjerit kumpulan tertentu untuk tampil ke depan, manakala yang lain memberitahu orang ramai menunggu dalam barisan tidak teratur.

Sukar untuk menentukan kumpulan mana yang bertanggungjawab, dengan ada yang kadangkala memanggil slot waktu berbeza ke depan, menyebabkan penerima bertambah keliru.

Penjarakan fizikal sukar diamalkan akibat kurang kejelasan.

Julie, yang dijadualkan menerima vaksin pada 11.30 pagi, berkata beliau dipanggil ke dalam bangunan sekitar tengah hari.

Semakin dekat penerima dengan dewan vaksinasi, keadaan lebih baik dengan papan tanda semakin jelas.
“Nampaknya tiada penyelarasan. Di luar, mereka hanya panggil kumpulan 11.30 pagi. Tetapi apabila anda masuk, mereka beritahu anda lewat. Ia satu kesilapan untuk memilih hujung minggu bagi melakukan vaksinasi.”

Penjarakan fizikal lebih baik di dalam bangunan, tetapi masih tidak jelas di mana penerima perlu tuju selepas beliau masuk.

Walaupun ada pelekat di lantai dan papan tanda menunjukkan seseorang patut beratur di “stesen” berbeza, ia selalunya tidak diperhatikan petugas, yang meminta orang ramai dengan tempahan slot waktu tertentu untuk melangkaunya.

Berbanding keadaan di dewan utama, ia lebih baik dan teratur, dengan kerusi dijarakkan mengikut SOP kerajaan dan arahan adalah jelas.

Di dalam dewan, arahan lebih jelas dan proses lebih teratur.
Penerima diarahkan duduk mengikut kumpulan mereka dan dipanggil melalui sistem tiket.

Bagaimanapun, mereka perlu menunggu lama.

Isnin lalu, Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin mengumumkan kira-kira 2,800 orang yang sepatutnya divaksin hujung minggu ini akan dijadualkan semula untuk mengelakkan kesesakan.

Bagaimanapun, masalah lebih besar bukannya jumlah orang yang hadir untuk vaksinasi, tetapi kurangnya persediaan.

WTC hanya sebuah daripada beberapa pusat vaksinasi di Lembah Klang untuk mereka yang mendaftar bagi vaksin AstraZeneca.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/15/kekeliruan-berlaku-di-luar-pusat-vaksinasi-utama-kl/