Ramai mengadu MySejahtera tukar tarikh temujanji suntikan vaksin tanpa sebab munasabah

Ramai mengadu MySejahtera tukar tarikh temujanji suntikan vaksin tanpa sebab munasabah

Di media sosial, semakin banyak dikongsikan insiden membabitkan aplikasi MySejatera menukar waktu janji temu vaksinasi tanpa sebab khusus.

Warganet meluahkan rasa kecewa mereka terhadap isu yang harus mereka hadapi untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Ada yang berdepan pengalaman aneh, termasuklah ditetapkan janji temu di lokasi yang jauh dari rumah mereka.

Seorang warganet berkongsi, MySejahtera tiba-tiba menyatakan bahawa ibunya telah terlepas tarikh temu janji, setelah tarikhnya ditukar daripada Jun ke 27 Mei, tanpa pengetahuan mereka.

Peguam Syahredzan Johan berkongsi di Twitter pagi ini bahawa ibu saudaranya, yang tinggal di Johor sepanjang hidupnya, mendapat temu janji pemvaksinan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Subang Jaya, di Selangor.

“Mak saudara saya, tinggal seumur hidup di Johor, IC pun Johor, pagi ini dapat tarikh vaksinasi PICK (Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) dia. Di Subang Jaya.

“Berapa ramai agaknya yang jadi macam ni?” soalnya.

Isu itu diselesaikan apabila sepupu Syahredzan yang membantu pendaftaran ibu saudaranya itu, dapat menghubungi talian talian khidmat pelanggan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Bagaimanapun, menurutnya, dia dimaklumkan bahawa masalah itu mungkin timbul akibat tersilap memasukkan alamat ketika pendaftaran dahulu. Syahredzan menafikan kemungkinan itu.

“Sepupu saya dah periksa betul-betul, dia masukkan alamat Johor untuk mak saudara saya (semasa pendaftaran),” katanya.

Katanya lagi, meskipun sepupunya itu tinggal di Selangor, tetapi tempat tinggalnya bukanlah terletak di Subang Jaya.

“Jadi tidak ada sebab mengapa mak saudara saya itu diberikan lokasi PPV di Subang Jaya,” katanya ketika dihubungi.

Seorang pengguna Twitter @IqbalShamsul berkata ibunya dijadualkan untuk menerima dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam, Selangor pada 9 Jun.

Lokasi itu kemudiannya ditukar ke Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Subang – yang merupakan PPV untuk vaksin selain AstraZeneca. Tarikhnya masih sama iaitu 9 Jun.

Bagaimanapun, pada Khamis, dia mendapati masa janji temu telah ditukar pula kepada pagi hari yang sama (Khamis).

“Mak saya ditentukan untuk mendapat suntikan AZ pada Jun, kemudian ditukar kepada suntikan bukan AZ (di PPV Sunway) juga pada Jun.

“Tiba-tiba semalam PM (petang), slotnya ditukar ke semalam AM (pagi). @my_sejahtera kata dia dah “terlepas” (janji temu).

“Mak saya nak kena rentas masakah?” soalnya di Twitter semalam.

Dia turut memuat naik tangkap layar temu janji MySejahtera ibunya, yang menyatakan bahawa ibunya itu sudah terlepas janji temu imunisasi.

Dalam satu ciapan susulan pagi ini, @IqbalShamsul berkata masalah itu telah diselesaikan dan dia mengucapkan terima kasih kepada JKJAV, menteri bertanggungjawab dalam program vaksinasi Khairy Jamaluddin serta pegawainya.

Dapat slot, tak dapat temu janji

Sementara itu, ramai juga individu yang turut serta dalam program vaksin AstraZeneca secara sukarela, mendakwa mereka tidak diberikan janji temu sehingga kini meskipun berjaya menempah slot pada 26 Mei lalu.

Untuk rekod, JKJAV membuka pendaftaran sukarela vaksin AstraZeneca buat pusingan kedua pada 23 Mei – untuk warga emas – dan pada 26 Mei untuk mereka yang berusia bawah 60 tahun. Hampir sejuta slot diisi tidak sampai dua jam pada 26 Mei.

Loh Siew Mei, 28, memberitahu Malaysiakini bahawa dia dan adik lelakinya berjaya menempah slot AstraZeneca pusingan kedua, setelah mencuba lebih sejam.

Bagaimanapun, sehingga kini, kedua-dua mereka belum diberikan perincian temu janji.

“Kami berjaya tempat slot kami di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur untuk tarikh pada hujung Julai, dan mendapat halaman ‘Terima Kasih’ di akhir (pendaftaran).

“Tapi, tak ada di antara kami yang mendapat tarikh temu janji sehingga sekarang. Sebahagian kawan kami yang dapat tempah slot beberapa minit selepas kami (pun) telah mendapat temu janji mereka.

“Lebih mengecewakan, apabila saya hubungi hotline semalam, mereka beritahu, berjaya menghantar (pendaftaran) tidak semestinya bermaksud kami akan mendapat temu janji,” kaya pekerja sektor swasta itu, yang turut meluahkan isu dihadapinya di Twitter.

Penolong editor Melissa Darlyne Chow, 37, yang tinggal di Pulau Pinang turut berdepan pengalaman sama.

Dia menempah slot di Pusat Konvensyen Setia, yang merupakan satu-satunya PPV untuk vaksin AstraZeneca di Pulau Pinang.

“Saya mencuba menempah satu slot selama kira-kira setengah jam, sebelum berjaya menghantar pendaftaran saya dan mendapat halaman ‘Terima kasih’.

“Tapi, sejak itu, saya sentiasa memeriksa MySejahtera sehingga hari ini, tapi tak ada kemas kini terhadap temu janji saya.

“Saya bahkan membuang dan memasang semula aplikasi itu, tapi tak ada perubahan,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi JKJAV untuk mendapatkan komen mereka berkenaan isu tersebut.

Seorang pegawai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu Malaysiakini bahawa mereka sedang memeriksa maslaah dibangkitkan dengan pasukan yang menguruskan aplikasi MySejahtera.

Dalam ciapan di Twitter, JKJAV mengatakan mereka yang menempah AstraZeneca pada 26 Mei tetapi belum menerima janji temu akan menerimanya tidak lama lagi.

“Janji temu untuk AstraZeneca pusingan kedua masih lagi sedang diberikan,” katanya.

Seorang pegawai di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu Malaysiakini bahawa mereka sedang memeriksa dengan pasukan yang mengendalikan aplikasi MySejahtera.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/576674