Ramai kecewa tiada tindakan terhadap Menteri langgar SOP secara terbuka

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar dan mempersoalkan kegagalan pihak berwajib dalam mengambil tindakan tegas terhadap menteri yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendakwa, ini kerana pendekatan berat sebelah dalam pelaksanaan SOP semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sentiasa menjadi pertikaian umum.

Menurutnya, lebih membangkitkan kemarahan ramai apabila menteri dilihat sewenang-wenangnya melanggar SOP ketika rakyat pula sebaik mungkin mematuhinya bagi meredakan penularan Covid-19.

“Pelanggaran SOP oleh menteri sekali lagi dapat dilihat melalui lawatan kerja Senator Datuk Seri Tengku Zafrul, Menteri Kewangan ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi pada 24 Januari 2020 yang turut disertai Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Berdasarkan maklumat atau tentatif yang saya terima serta gambar yang dimuat naik di Facebook Menteri Kewangan, aktiviti semasa program tersebut jelas melanggar SOP PKP yang dikemaskini pada 22 Januari 2021 berhubung arahan untuk tidak membenarkan sebarang majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta termasuk aktiviti seperti mesyuarat, bengkel pameran, serta aktiviti lain yang berkaitan.

“Apakah rasional bagi aktiviti demo (pertunjukan) kepada menteri serta aktiviti simbolik seperti memberi makan lobster ketika darurat dan PKP2.0,” soal Akmal dalam kenyataannya pada Rabu.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, lebih membimbangkan apabila Rina turut hadir pada program berkenaan walaupun beliau disahkan positif Covid-19 pada 11 Januari lalu.

“Jika mengikut tempoh standard kuarantin iaitu 14 hari, tempoh kuarantin beliau sepatutnya berakhir pada 25 Januari 2020.

“Bukankah ini suatu tindakan amat tidak bertanggungjawab oleh menteri yang berpotensi menyebar virus kepada umum,” soalnya lagi.

Akmal berkata, pelanggaran SOP secara terbuka oleh menteri yang seperti kebal daripada tindakan undang-undang pernah disuarakan sebelum ini seperti rombongan rentas negeri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Johor pada 17 Januari yang lalu.

“Namun situasi ini berbeza kepada rakyat biasa. Seperti yang berlaku di Segamat, Johor apabila seorang wanita yang dikatakan tidak memakai pelitup muka di tempat awam sebaik sahaja turun dari kereta yang diparkir di hadapan kafe beliau segera disaman walaupun terdapat bukti melalui kamera litar tertutup (CCTV) bahawa kawasan tersebut lengang.

“Ini adalah suatu pendekatan yang berat sebelah, dua darjat dan perlu diubah segera. Tatkala rakyat segera diambil tindakan, menteri pula berterusan bebas melanggar undang-undang,” katanya. – SH

COMMENTS

Wordpress (0)