Jika kerajaan Pakatan Harapan dikalahkan pada pilihan raya umum akan datang , maka yang menggantikannya adalah kerajaan Barisan Nasional. Buat masa ini kerajaan Pakatan Harapan yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah adalah dibentuk bersama dengan penyertaan juga Parti Warisan Sabah dan Pertubuhan Pasoknomogun Kadazan Murut Bersatu (UPKO) di Sabah.
Di pihak Barisan Nasional, mereka disokong oleh PAS. Barisan Nasional kini dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC. PAS pula mempunyai pakatan yang dipanggil sebagai Gagasan Sejahtera disertai juga Berjasa, Ikatan dan Parti Cinta Malaysia. Sementara di Sarawak, Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif lebih cenderong untuk menyokong BN. Di Sabah, Gabungan Bersatu Sabah (GBS) terdiri daripada PBS, Star dan PBRS juga lebih cenderong pada BN.
Tetapi penentangan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang nyata ialah dari pembangkang utama terdiri daripada UMNO dan PAS. Kerajaan Pakatan Harapan diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan landasan untuk pelaksanaan “rule of law” atau kedaulatan undang-undang. Ini kerana keadaan “rule of law” di peringkat tertinggi kerajaan terjejas semasa pentadbiran lalu akibat penyelewengan dan korupsi dengan kes paling terbesar ialah skandal 1MDB. Sememangnya negara mempunyai pelbagai isu dan cabaran, tetapi penegakan “rule of law” ini adalah yang paling utama dan atas sebabnya, pada umumnya rakyat memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.
Di pihak pembangkang yang hendak mengalahkan kerajaan Pakatan Harapan pula ialah Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Zahid Hamidi. Barisan Nasional ini pada asasnya ialah UMNO kerana dua komponennya, MCA dan MIC tidak konsisten lantang sejak keputusan pilihan raya umum tahun 2018. Parti yang lantang bersama UMNO kini ialah PAS. Maka pembangkang yang hendak mengalahkan Pakatan Harapan lebih dikenali sebagai kerjasama UMNO-PAS yang nama rasminya dipanggil sebagai konsep Penyatuan Ummah. Untuk mencakupi parti-parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC, maka diutarakannya gagasan Muafakat Nasional.
Pembangkang UMNO-PAS tidak mengutamakan soal “rule of law” atau pembantersan korupsi dan penyelewengan. Begitu jugan skandal 1MDB tidak menarik minatnya. Sebaliknya tumpuan mereka adalah isu-isu kaum dan agama iaitu Melayu-Islam. Hujah utama mereka bagi menentang kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.
Sementara di pihak kerajaan Pakatan Harapan, kepentingan-kepentingan Melayu tetap dipertahankan dalam konteks bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama yang mana wargangearanya mempunyai hak dilindungi oleh Perlembagaan. Lebih-lebih lagi parti-parti dalam Pakatan Harapan adalah seimbang dari segi kepelbagaian kaum. Bersatu adalah parti Bumiputera yang elemen Melayunya adalah kuat. PKR adalah parti berbilang kaum dan agama tetapi majoriti keanggotaannya terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera. DAP pula adalah parti yang majoriti anggotanya terdiri daripada orang Cina diikuti India tetapi juga memiliki anggota Bumiputera. Amanah adalah parti yang berlandaskan Islam dengan keanggotaannya berbilang kaum walaupun majoriti ahlinya adalah Melayu.
antara kerajaan Pakatan Harapan dan pembangkang UMNO-PAS adalah jelas. Dari segi kepimpinannya juga jelas. Dr Mahathir dan Zahid. Maka kerajaan Pakatan Harapan wajar diberi sokongan. Ini kerana tanpa sokongan rakyat dan jentera kerajaan, pelaksanaan semua rancangan negara tidak dapat disempurnakan dalam masa satu penggal ini.
Zin Mahmud