Rakyat mula menaruh harapan yang tinggi terhadap Perikatan Nasional, kata Timb Menteri Pas

Rakyat mula menaruh harapan yang tinggi terhadap Perikatan Nasional, kata Timb Menteri Pas

Pembentukan jajaran politik baharu akan mengembalikan igauan terhadap era Pakatan Harapan dahulu, kata Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

“Adakah kita semua mahu menggadaikan nasib dan masa depan kita?” tanya beliau.

Menurutnya, setahun yang lalu majoriti rakyat dalam negara melahirkan rasa lega dan syukur apabila gabungan Perikatan Nasional berjaya mengambilalih Kerajaan Persekutuan.

“Ia seolah-olah memberi nafas baru kepada rakyat dan negara untuk menempuhi fasa baharu dalam membina semula negara selepas melalui pengalaman pahit ketika era pemerintahan Pakatan Harapan yang sememangnya menjadi igauan ngeri buat kita semua,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Dalam masa yang sama, katanya Muafakat Nasional yang ditubuhkan PAS-Umno ketika Pakatan Harapan menerajui Kerajaan Persekutuan tetap terus diperkasa demi untuk masa depan rakyat dan negara terutamanya umat Islam.

Ketika itu, tambahnya situasi politik dalam negara yang kelam kabut sebelum ini kembali tenang dan rakyat mula menaruh harapan yang tinggi terhadap Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional berserta semua gabungan parti politik yang ada bersamanya untuk kembali memacu negara ke arah yang lebih baik.

Beliau berkata, namun ‘ombak tidak selalunya tenang’ berdasarkan situasi politik semasa.

“Anggaplah ia umpama ujian buat keluarga besar ini dan gabungan politik terbaik yang pernah hadir buat kita semua,” katanya yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Justeru, ujar beliau pelihara dan tautkan kembali persahabatan dan ukhuwah walau timbul perselisihan faham, tidak sealiran dan berbeza pemikiran.

Ini, katanya kerana ia adalah perkara lazim dalam sebuah keluarga yang besar dalam menempuhi masa depan.

Beliau menambah, usahlah cuba dirobohkan dengan memberi ruang dan peluang kepada pembentukan jajaran politik baharu yang sememangnya tidak diinginkan di mana hampir pasti semua tahu akan akibat dan pengakhirannya.

“Semestinya pembentukan jajaran politik baharu akan mengembalikan igauan kita semua terhadap era Pakatan Harapan dahulu yang tidak kita semua inginkan.

“Adakah kita semua mahu menggadaikan nasib dan masa depan kita semua dengan memberikan ruang dan peluang kepada pembentukan jajaran politik baharu yang kita tidak yakin hujung pangkalnya dan tahu bagaimana pengakhirannya?”

“Demi masa depan rakyat dan negara, perkasakan Muafakat Nasional, pertahankan Perikatan Nasional,” tegasnya lagi

Berita Penuh :https://harakahdaily.net/index.php/2021/04/12/jajaran-politik-baharu-kembali-igauan-terhadap-era-ph/