Rakyat Malaysia perlu pilih wakil rakyat yang takutkan Allah, kata Pas

Rakyat Malaysia perlu pilih wakil rakyat yang takutkan Allah, kata Pas

Pas menyeru rakyat Malaysia bermula pada masa sekarang untuk memilih wakil rakyat yang takutkan kepada ALLAH bagi mengelakkan perkara seperti sogokan berlaku.

Timbalan Pengerusi Lajnah IT dan Data Raya Pas Pusat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia berbeza sekiranya mereka memilih wakil rakyat yang takutkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sebab kalau sekadar takut kepada SPRM, bila telah ada kuasa, SPRM dah ambil tindakan pun mereka boleh dibebaskan.

“Maknanya wakil-wakil rakyat yang takut kepada ALLAH kita jamin dari segi integriti, amanah dan sebagainya (tidak ada sogokan kepada mereka). Jadi kalau yang takut kepada SPRM sahaja dia tidak selesai masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-239 bertajuk ‘Dakwaan Sogok Ahli Parlimen: Strategi Atau Terdesak?’ yang disiarkan secara dalam talian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Menurut Che Abdullah, sekiranya perkara berkenaan dapat dilakukan oleh rakyat Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya, maka negara ini akan mempunyai 222 ahli Parlimen yang mempunyai integriti dan prinsip dalam perjuangan.

Tegasnya, prinsip atau jati diri ahli Parlimen mestilah menjadi tonggak utama bagi mengelakkan perkara seperti sogokan atau pancing memancing itu berlaku.

“Dalam kes yang melibatkan rasuah kita selalunya sebut serahkan atau beri kuasa kepada SPRM dan sebagainya. Kita menghormati tanggungjawab yang diambil oleh SPRM.

“Namun manusia tetap manusia. Kesalahan tetap berlaku. SPRM pun ada kelemahan-kelemahan dan sebagainya dalam menangani masalah-masalah yang ada,” katanya.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/128813/KHAS/Wacana/Pas-seru-rakyat-Malaysia-pilih-wakil-rakyat-takutkan-ALLAH