Rakyat makin tertekan, segerakan moratorium automatik

Rakyat makin tertekan. Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) merayu kerajaan supaya mengarahkan bank melaksanakan segera moratorium pinjaman automatik selama enam bulan bagi golongan B40, M40 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusinya, Bashir Ahmad Kassim berkata, rakyat terutamanya peniaga kini tertekan kerana bank tidak memberikan moratorium, khasnya kepada PKS.

“Pihak bank menekan peniaga supaya membayar atau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka sekiranya bayaran tidak dibuat selama tiga bulan berturut-turut dan semua kos guaman akan ditanggung peminjam.

“Hampir setiap hari DPMS menerima keluhan peniaga dan ahli yang mendakwa mereka dalam keadaan amat tertekan. Mereka malah tiada wang atau pendapatan untuk membayar sewa kedai kerana banyak perniagaan ditutup ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Perniagaan yang dibenarkan beroperasi seperti restoran mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak 80% dan tidak mampu membayar balik pinjaman,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bashir berkata, syarat wajib yang dikenakan bank ke atas peniaga untuk mendapatkan moratorium tiga bulan juga sukar dipenuhi kebanyakan peniaga.

“Pihak bank mengenakan syarat wajib menunjukkan bukti peminjam hilang pendapatan untuk mendapatkan moratorium tiga bulan seperti yang diumumkan kerajaan.

“Namun kebanyakan peniaga, terutamanya PKS tiada sebarang dokumen yang boleh membuktikan mereka hilang pendapatan, melainkan penyata bank dan rekod dalaman perniagaan yang tidak diterima pihak bank.

“Peniaga tiada slip gaji, penyata KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau surat dibuang kerja.”

Beliau berkata, ada sesetengah peminjam mendakwa sudah diberikan moratorium tetapi kadar faedah masih wajib dibayar setiap bulan.

“Dalam keadaan begini faedah ini merupakan satu beban besar bagi peniaga.

“DPMS dimaklumkan ramai peniaga tertekan dengan keadaan yang ada, ditambah lagi dengan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan perdana menteri, ia jelas menyaksikan PKP sekarang akan berlarutan selama beberapa bulan lagi sehinggalah keadaan pulih sepenuhnya.”

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/21/segerakan-moratorium-automatik-bantu-rakyat-peniaga-tertekan-gesa-kumpulan-perniagaan/