Rahsia disebalik pelekat ‘Percayalah Pointerku 3.85’ brader grab food ini akhirnya terbongkar

Nampak seperti mahu menunjuk-nunjuk, namun ada kisah di sebalik pelekat bertulis ‘Percayalah Pointerku 3.85’ ditampal penghantar makanan, Shafizal Haiqal Shahrizal pada kotak isian bungkusan di motosikalnya.

Shafizal Haiqal, 20, yang kini menuntut dalam peringkat Diploma Pengajian Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis berkata, pelekat itu ditampal dua minggu lalu dengan niat memberi motivasi kepada dirinya sendiri untuk mencapai sasaran keputusan dalam peperiksaan.

Anak kedua daripada tiga beradik yang menetap di Taman Kinta Permai, di sini berkata, sasaran 3.85 sudah memadai kerana tidak yakin untuk menyasarkan Purata Nilai Gred (GPA) 4.

Rahsia disebalik pelekat 'Percayalah Pointerku 3.85' brader grab food ini akhirnya terbongkar

“Saya tampal pelekat itu dengan tujuan beri dorongan kepada diri sendiri saja bagi mencapai keputusan diinginkan.

“Ini kerana GPA paling tinggi saya sebelum ini 3.35 saja jadi cuba letakkan 3.85 sebagai sasaran dengan harapan ia tercapai.

“Saya letak di kotak isian bungkusan makanan kerana itu bahagian paling kerap dilihat setiap hari.

“Setakat ini, tiada pengguna jalan raya memandang pelik atau membunyikan hon ketika saya menunggang motosikal di jalan raya cuma rakan terdekat ada mengusik saya riak kerana menampal pelekat itu ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

SHAFIZAL Haiqal Shahrizal menarik perhatian warganet selepas gambarnya meletak pelekat sasaran keputusan peperiksaan tular di laman sosial. FOTO Ihsan Shafizal Haiqal Shahrizal

Shafizal Haiqal berkata, dia tidak sangka gambarnya itu tular di laman sosial dan tahu mengenainya kelmarin.

“Saya dapat tahu gambar saya tular di laman sosial daripada ayah (Shahrizal Mustapha, 45). Terkejut kerana tidak tahu dan sedar ada yang mengambil gambar saya.

“Walaupun sekadar memperoleh GPA 3.5 dalam keputusan peperiksaan yang keluar hari ini, saya bersyukur kerana akhirnya mendapat anugerah dekan dan akan terus berusaha untuk mendapatkan keputusan lebih baik pada semester hadapan,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya sambilannya sebagai penghantar makanan, Shafizal Haiqal berkata, pekerjaan itu dilakukan sejak November tahun lalu.

“Saya cuba bekerja sambilan sebagai penghantar makanan bagi mengisi masa terluang ketika hari tiada kuliah secara maya.

“Lagipun, sekarang ini masih cuti semester jadi lebih baik bekerja daripada duduk di rumah saja.

“Dalam sehari, saya boleh mendapat antara RM60 hingga RM70 dan pendapatan bulanan pula sebanyak RM1600 atau lebih RM2,000 jika rajin .

“Alhamdulillah, saya seronok lakukan kerja ini cuma ada juga pengalaman tersilap mengambil dan menghantar pesanan yang tidak disengajakan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/09/753358/kenapa-shafizal-haiqal-tampal-pelekat-percayalah-pointerku-385-nak-tahu

BACA JUGA : Tujuh tawaran kerajaan, PH cadang umum peruntukan RM45 bilion bantu rakyat segera