Radius 10km : Bawa dokumen tambahan seperti bil utiliti jika keluar rumah – KPN

Radius 10km : Bawa dokumen tambahan seperti bil utiliti jika keluar rumah – KPN

Orang ramai digalakkan supaya membawa dokumen sokongan tambahan seperti bil utiliti bagi memudahkan pembuktian dan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh bermula Selasa.

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, saranan tersebut dikeluarkan dengan mengambil kira pelaksanaan semula had pergerakan di dalam radius 10 kilometer bagi prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh.

“Jadi apa yang perlu dilakukan untuk pembuktian kediaman sama ada melalui alamat yang tertera di kad pengenalan ataupun bagi memudahkan petugas SJR dan orang ramai, kita galakkan membawa bil-bil utiliti seperti bil eletrik bagi dokumen sokongan,” katanya pada sidang akhbar khas yang disiarkan secara langsung di Facebook PDRM pada Isnin.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, penjawat awam yang perlu hadir ke pejabat juga diminta menunjukkan dokumen pas pekerja dan arahan rasmi daripada ketua jabatan masing-masing di SJR yang diadakan.

Katanya, kebenaran tersebut juga hanya tertakluk kepada penjawat awam yang terlibat dengan perkhidmatan perlu.

“Kalau dulu kita katakan penjawat awam hanya perlu menunjukkan pas keselamatan pekerja dan surat majikan.

“Tetapi sekarang jika mereka ingin bergerak dan diperiksa di SJR, mereka perlu tunjukkan satu lagi dokumen iaitu surat daripada ketua jabatan yang memang mengarahkannya untuk hadir bertugas di pejabat,” jelasnya.

Bagi pihak yang mahu menghulurkan bantuan bencana atau kemanusiaan, Acryl Sani berkata, mereka boleh melakukannya melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Pada masa sama, beliau berkata, kesemua petugas keselamatan akan melakukan pemeriksaan teliti terhadap dokumen yang dikemukakan oleh orang ramai di kesemua SJR di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau tidak menafikan akan berlaku kesesakan di SJR dan juga di beberapa lokasi tertentu sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Selain itu, Acryl Sani berkata, beliau turut mengarahkan supaya setiap permohonan pergerakan yang dibuat di semua balai polis seluruh negara diteliti dengan sebaik mungkin sebelum diberikan kelulusan.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/141537/BERITA/Nasional/Orang-ramai-digalak-bawa-dokumen-sokongan-tambahan-KPN?ref=rss&format=simple&link=link