Putus hubungan dengan Bersatu ibarat sinetron, bersambung ke PAU untuk putuskan

umno

UMNO akan membawa usul memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari depan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu.

Ujarnya, terdapat tiga usul utama yang dibangkitkan sebahagian besar atau majoriti daripada 189 Bahagian-Bahagian UMNO yang telah bersidang baru baru ini.

“Mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama sama sebagai pembangkang.

“Memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Menggesa supaya Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat tertakluk kepada keadaan COVID-19,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk membawa usul-usul berkenaan ke Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari depan untuk dibahas dan diputuskan.

“Mesyuarat bersetuju membawa usul-usul ini ke Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari 2021 bagi dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan Perlembagaan tersebut,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan jelas Shahril, mesyuarat turut memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti di negeri-negeri bagi usaha membantu mangsa-mangsa banjir termasuk pasca banjir.

“Skuad Sayang Wanita dan Skuad Sabil Pemuda juga telah dan akan digerakkan dengan lebih hebat. Bagi tujuan menyelaras semua gerak kerja penyampaian bantuan kepada mangsa banjir, sebuah ‘Pasukan Khas UMNO Menangani Bencana’ ditubuhkan,” ujar Shahril lagi.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/umno-bawa-usul-putus-hubungan-dengan-bersatu-pada-pru15-dalam-perhimpunan-agung-shahril-276452

COMMENTS

Wordpress (0)