Pusat Penemuan Langkawi Geopark yang dirasmikan hari ini akan membantu merakyatkan konsep geopark kepada masyarakat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan.
Beliau berkata pusat bernilai RM16 juta itu juga dibina supaya masyarakat umum mudah memahami konsep geopark.
“Komponen dalam Pusat Penemuan Langkawi Geopark ini merupakan kaedah kita untuk merakyatkan atau mengarusperdanakan konsep geopark. Pusat ini dibuat supaya ‘layman’ atau masyarakat umum mudah memahami konsep geopark.
“Di pusat ini juga ada beberapa elemen interaktif supaya masyarakat boleh tahu tentang konsep geopark ini secara mudah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Soft Launch Pusat Penemuan Langkawi Geopark, di Kilim Karst Geoforest Park di sini hari ini.
Pusat Penemuan Langkawi Geopark direka berdasarkan konsep ‘Making The Past Present For The Future’ untuk mempersembahkan warisan sejarah keunikan pulau ini sejajar dengan garis panduan UNESCO dan komitmen berterusan dilaksanakan oleh Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) sebagai ahli rangkaian geopark global.
Pusat penemuan tersebut terdiri daripada dua komponen utama iaitu pembinaan bangunan dan penyediaan bahan pameran yang dilengkapi dengan paparan berteknologi tinggi serta media persembahan.
Komponen yang terdapat di pusat penemuan tersebut ialah segmen pengenalan; segmen geografi dan geologi; flora dan fauna; sosiobudaya serta segmen antarabangsa; ruang pameran bertema; amphitheatre; perpustakaan mini; awasan landskap dan rekreasi serta pejabat pentadbiran.
BERNAMA