Purata kes harian masih 5,500, sukar untuk masuk fasa 2

Purata kes harian masih 5,500, sukar untuk masuk fasa 2

Peralihan ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat berdepan tempoh sukar apabila trend purata kes harian COVID-19 mencatatkan pola naik turun sepanjang minggu epid bermula Isnin lalu.

Purata kes harian COVID-19 dicatatkan pada tahap 5,500 kes setakat semalam, melebihi nilai ambang 4,000 kes ditetapkan kerajaan bagi proses peralihan daripada Fasa Pertama ke Fasa Kedua PPN.

Angka itu berdasarkan statistik kes jangkitan COVID-19 bagi tempoh 1 Jun lalu hingga semalam, yang dimuat naik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebooknya, malam tadi.

Nilai kebolehjangkitan (Rt) pula mencatatkan peningkatan kepada 0.97, semalam, berbanding 0.96 kelmarin, sekali gus menyaksikan paras Rt seluruh negara kekal di bawah 1.0 bagi 21 hari berturut-turut sejak 6 Jun lalu.

Bagaimanapun, nilai Rt di empat negeri dicatatkan melebihi purata kebangsaan, semalam, dengan nilainya direkodkan melepasi paras 1.0.

Rt tertinggi semalam dicatatkan di Melaka dengan bacaan 1.06, diikuti Negeri Sembilan (1.04); Pahang (1.02); Selangor (1.0); Sarawak (0.98); Kuala Lumpur dan Kedah (0.97); Johor (0.91) serta Pulau Pinang dan Putrajaya (0.9).

Nilai Rt terendah dicatatkan di Terengganu dengan bacaan 0.66, diikuti Kelantan (0.77); Perlis (0.86); Sabah (0.87) serta Perak dan Labuan (0.89).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan satu kes COVID-19 kepada individu lain.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/832540/purata-kes-harian-covid-19-melebihi-nilai-ambang