Pulau Pinang hulur bantuan pada nelayan bukti PH prihatin, kata Faiz

Pulau Pinang hulur bantuan pada nelayan bukti PH prihatin, kata Faiz

Keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan bantuan bayaran ‘one-off’ kepada 5814 nelayan pesisir pantai (Zon A) negeri ini berjumlah RM2. 32 juta di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 yang diumumkan semalam membuktikan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan terhadap golongan tersebut.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil selepas menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada golongan asnaf di Dun Permatang Pasir semalam.

Jelasnya bantuan tersebut amat penting kepada nelayan kerana mereka merupakan golongan marhaen atau B40 yang memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan.

Malah katanya, pemberian ini dapat membantu meringankan beban kehidupan mereka ekoran penularan wabak Covid-19 setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan pendapatan mereka terjejas teruk.

“Tidak dapat dinafikan, apabila PKP dilaksanakan rantaian bekalan makanan terutamanya bekalan ikan terkesan teruk kerana berlakunya ‘disruption supply chain’.

“Terdapat nelayan yang terpaksa membuang ikan ke laut setelah hasil tangkapan tidak dapat dijual. Ini membuktikan kerajaan tebuk atap (PN) yang gagal bertindak cepat dan berkesan dalam menangani isu ini.

“Tiada polisi dan arahan jelas serta konkrit bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi industri perikanan walaupun negara mempunyai pegawai yang kompeten terutamanya di bawah LKIM untuk menguruskan perkara tersebut,” ujar beliau.

Menurut Faiz lagi, dengan pemberian tersebut, perjuangan membela nelayan bagi mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan jelas diperjuangkan oleh PH dibawah kerajaan negeri Pulau Pinang.

Tambahnya, setakat ini tiada kerajaan negeri lain termasuk kerajaan Pusat yang memberikan bantuan tunai sedemikian yang dikhususkan untuk para nelayan.

Sejajar dengan itu kata Faiz, adalah diharapkan bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh nelayan dalam membaiki atau menambah baik peralatan tangkapan ikan supaya dapat meningkatkan hasil tangkapan serta pendapatan mereka.

Katanya, keputusan kerajaan memberikan bantuan kotak insulasi bernilai RM180 kepada 250 nelayan darat berjumlah RM45 ribu yang jarang diberikan perhatian amat disokong sepenuhnya.

Sumber: