Pulau Pinang adalah penyumbang terbesar eksport negara, kata Ketua Perangkawan

Pulau Pinang adalah penyumbang terbesar eksport negara, kata Ketua Perangkawan

Lima negeri yang didahului oleh Pulau Pinang mendominasi 80.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara tahun lalu yang berdepan dengan ketidaktentuan disebabkan pandemik COVID-19.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata lima negeri itu adalah adalah Pulau Pinang (31.8 peratus), Johor (20 peratus), Selangor (18.9 peratus), Sarawak (6.7 peratus) dan Perak (3.2 peratus).

Beliau berkata, pada 2020, secara keseluruhan perdagangan Malaysia mencatatkan eksport bersih sebanyak RM184.8 bilion, peningkatan sebanyak 26.8 peratus berbanding tahun

sebelumnya.

Ini, katanya, disumbangkan oleh kenaikan eksport bersih yang tinggi terutama di Pulau Pinang (RM124.4 bilion), Sarawak (RM47.2 bilion), Johor (RM39.7 bilion) dan Pahang (RM15.1 bilion).

“Eksport bersih yang tinggi dicatatkan di Pulau Pinang disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik, manakala eksport bersih di Johor diperoleh daripada barangan elektrik & elektronik dan minyak kelapa sawit serta hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit.

“Gas asli cecair (LNG) dan minyak kelapa sawit penyumbang utama eksport bersih di Sarawak. Batang besi dan keluli penyumbang utama di Pahang,” katanya dalam laporan Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri 2021.

Mohd Uzir berkata, 2020 menjadi tahun yang mencabar kepada ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 dan turut memberi kesan kepada aktiviti perdagangan di seluruh dunia.

Beliau berkata, perdagangan Malaysia pada tahun lalu merekodkan RM1.8 trilion, penurunan 3.6 peratus berbanding RM1.84 trilion pada 2019.

Namun, tegasnya, enam negeri tetap mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan iaitu Pulau Pinang (RM38.6 bilion), Sabah (RM4.5 bilion), Pahang (RM3.5 bilion), Kedah (RM3.0 bilion), Kelantan (RM969.7 juta) dan Perak (RM294.8 juta).

“Eksport negara pada 2020 bernilai RM981.0 bilion, turun 1.4 peratus berbanding RM995.1 bilion pada 2019. Import juga mencatatkan penurunan 6.3 peratus kepada RM796.2 bilion pada 2020 berbanding RM849.4 bilion pada tahun sebelumnya.

“Penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah terutama oleh Sarawak (RM15.5 bilion), Selangor (RM11.3 bilion), Johor (RM5.3 bilion), Sabah (RM4.2 bilion), Kuala Lumpur (RM3.4 bilion), Terengganu (RM2.8 bilion), Negeri Sembilan (RM2.3 bilion), Labuan (RM2.1 bilion), Kedah (-RM400 juta) dan

Perlis (RM100 juta),” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/06/825402/pulau-pinang-penyumbang-terbesar-eksport-negara