Puad persoal hanya Santhara sahaja layak jadi bapa bertanggungjawab?

Puad persoal hanya Santhara sahaja layak jadi bapa bertanggungjawab?

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan bagaimana Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar boleh diizinkan bertemu keluarganya di luar negara sedangkan rakyat biasa tidak dibenarkan merentas daerah atau negeri.

“Rakyat memang pelik bagaimana permohonan cuti panjang 55 hari untuk seorang timbalan menteri boleh lulus.

“Amat luar biasa kerana alasannya ialah untuk bersama keluarga yang duduk di luar negara,” kata beliau di Facebook.

Semalam, Santhara memaklumkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meluluskan permohonannya untuk merentas sempadan ke New Zealand untuk bersama keluarganya.

“Santhara bagi alasan, dia mohon cuti dan kelulusan rentas sempadan ke New Zealand kerana mahu menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.

“Apakah rakyat biasa yang dilarang melakukan rentas daerah/negeri untuk melawat keluarga mereka dianggap ibu bapa tidak bertanggungjawab? Mereka bukan mohon rentas negara,” kata Puad.

Beliau juga menzahirkan rasa kasihan terhadap petugas barisan hadapan yang tidak diluluskan cuti.

“Habis tinggi mereka pohon dua tiga hari sahaja untuk melawat anak dan isteri di luar daerah,” kata beliau.

Selain itu, Puad juga mempersoalkan tempoh cuti 55 hari yang diluluskan untuk Santhara, yang juga Ahli Parlimen Segamat.

“Seorang YB perlu kerap berada di kawasan. Apatah lagi di musim pandemik dan musim banjir. Segamat pun tidak kurang terkesan. Cuti dua minggu tidak cukup ke?” soal beliau.

Beliau merujuk kepada cuti untuk menteri dan timbalan menteri yang dibekukan sewaktu musim banjir ketika Barisan Nasional memerintah, termasuklah perdana menteri ketika itu, Najib Razak yang membatalkan percutiannya untuk pergi ke Kelantan ketika negeri itu dilanda banjir besar pada 2014.

“Apakah jawatan timbalan menteri wilayah tidak penting? Makin berleluasa amalan dua darjat di negara kita,” kata Puad.

Terdahulu, Najib menggesa Santhara menjelaskan laporan yang mendakwa beliau berada di New Zealand bersama keluarganya sejak Disember tahun lalu.

“Jika laporan ini benar and ia tidak dijelaskan atau dikendali dengan baik, isu ini bakal mengundang kemarahan besar terhadap kerajaan,” kata beliau.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/02/hanya-timbalan-menteri-sahaja-layak-jadi-bapa-bertanggungjawab-puad-persoal-alasan-santhara/