PRU15 mungkin dilaksanakan bila separuh rakyat diberi vaksin – Khairy

PRU15 mungkin dilaksanakan bila separuh rakyat diberi vaksin – Khairy

Malaysia mungkin bersedia mengadakan pilihan raya umum apabila separuh daripada 32 juta penduduk negara ini divaksin, kata Menteri Mosti yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Khairy dipetik berkata demikian pada wawancara CNA terbit hari ini.

Malah, menurut Khairy dia tidak terkejut jika PRU15 diadakan pada September atau hujung tahun ini.

“Jika kami dapat melaksanakan program imunisasi yang berkesan dan dapat meliputi, katakan 50 ke 60 peratus populasi dan Ketua Pengarah Kesihatan merasakan keadaan terkawal, maka barangkali itulah masa yang sesuai (mengadakan PRU15),” katanya lagi.

“Tidak mustahil membayangkan ia akan berlangsung dalam tahun ini… paling awal September,” jelasnya.

Khairy juga dilaporkan berkata apabila vaksin sudah menunjukkan keberkesanannya di kalangan penduduk maka ekonomi akan pulih dengan pantas.

“Dan sebagai ahli politik. Ini juga akan mengakhiri kebuntuan kerana kita dapat mengadakan pilihan raya umum,” katanya.

Hari ini bermula Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 di Putrajaya, yang merupakan antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/564206