Projek Jeniang Transfer untuk bekalan air kepada penduduk serta sektor pertanian di Kedah, kini telah siap kira-kira 30 peratus, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.
Katanya pelaksanaan projek berkenaan akan memasuki fasa baharu tidak lama lagi dan dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun.
“Projek ini adalah untuk membekalkan air ke kawasan jelapang padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan saya mengharapkan dengan siapnya Jeniang Transfer ini dalam tempoh 10 tahun akan datang, isu pengairan di jelapang padi MADA dapat kita atasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran kali ke-23 di Hotel KSL Johor Bahru di sini, hari ini.
Salahuddin berkata projek berkenaan adalah sebahagian langkah pihaknya untuk memastikan isu pengairan dan saliran dalam kawasan pertanian di negeri itu dapat diselesaikan, agar tidak memberi impak terhadap pengeluaran makanan negara.
Selain itu, pihaknya juga sedang meneliti beberapa langkah penyelesaian untuk mengatasi isu bekalan air ke kawasan projek estet padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan.
“Tentang KADA saya masih lagi mendengar taklimat dan beberapa ‘option’ kerana yang menjadi kesukaran kita adalah satu-satunya sumber air bagi KADA ialah Sungai Kelantan.
“Jadi terlalu banyak isu yang perlu kita selesaikan untuk pastikan KADA memiliki bekalan air yang cukup,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap kerjasama antara agensi yang terlibat dengan sektor pertanian dapat dioptimumkan, dalam menghadapi cabaran pertanian yang semakin hebat.
Beliau juga menyifatkan persidangan hari ini mampu menghimpunkan golongan professional seperti jurutera, perunding dan pemain industri, agar dapat berkongsi pandangan dan ilmu mengenai teknologi permodenan pengairan pertanian.
Ia selari dengan hala tuju kementerian untuk meningkatkan pengeluaran pertanian moden bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara.