PIHAK berkuasa agama Islam negeri dicadangkan supaya mengeluarkan fatwa bagi membenarkan zakat diberikan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang ingin dipulihkan.
Perkara itu dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, zakat itu bukan disalur kepada individu yang terjerumus dengan LGBT, sebaliknya menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dengan program pemulihan.
“Ramai orang silap faham, dia ingat kita bagi zakat dan mereka (LGBT) beratur panjang (ambil zakat). Kalau kata saya LGBT, saya boleh dapat zakat, bukan itu maksud dia.
“Maksud kita, mesti ada usaha untuk bebaskan dia (golongan LGBT) daripada kita kata mereka menjadi hamba nafsu songsang ini,” kataya.
Beliau menjawab demikian bagi menjawab persoalan dibangkitkan Nor Azrina Surip (PH-Merbok).
Mujahid berkata, setakat ini, hanya Selangor mengeluarkan fatwa sedemikian dalam usahanya memulihkan golongan itu.
“Fatwa di Selangor sudah menyatakan bahawa salah satu daripada (penerima zakat) asnaf, (adalah) mereka yang menjadi hamba iaitu hamba kepada nafsu songsang mereka.
“Justeru, melalui NGO, apa saja program pemulihan bagi membebaskan mereka ini daripada menjadi nafsu songsang ini, (maka boleh) diberikan bantuan melalui (bantuan) asnaf,” katanya.
Menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahmad Tarmizi Sulaman (PAS-Sik), Mujahid berkata, kerajaan tidak hanya fokus kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata bagi menghukum golongan terbabit sebaliknya yang lebih utama adalah pemulihan.
“Kalau undang-undang yang ada ketat tidak cukup, tanpa ada satu usaha membetulkan gaya hidup dan usaha dakwah membabitkan NGO, tanpa usaha membaiki (fungsi) mahkamah syariah itu sendiri. Semua itu masuk dalam pakej kita,” katanya.
Katanya, menerusi program Muhayyam Bersama Komuniti Disayangi yang dilaksana sejak 2011 contohnya, seramai 1,700 peserta terbabit, dengan sebahagian mereka hadir secara sukarela untuk dipulihkan.
Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/11/521456/cadang-zakat-untuk-lgbt-yang-ingin-pulih