PRN Sabah : Rakyat Sabah mahu hukum UPKO, Warisan dapat tempias

PRN Sabah : Rakyat Sabah mahu hukum UPKO, Warisan dapat tempias

Walaupun dilihat mendapat sokongan majoriti kaum Cina di Sabah pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, Warisan Plus dilihat masih sangat bergelut untuk mendapat sokongan masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM).

Penganalisis berpendapat, penolakan masyarakat KDM terhadap Warisan Plus adalah disebabkan beberapa faktor termasuk sentimen primordial yang dimainkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tony Paridi Bagang daripada Universiti Teknologi Mara berkata, sentimen berkaitan isu etnik, identiti serta pendatang tanpa izin (PATI) yang dimainkan GRS dilihat sangat berkesan sehingga mereka berjaya mendominasi kawasan KDM.

Selain itu, katanya, kecenderungan masyarakat KDM untuk menghukum Upko selepas apa yang terjadi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) juga menjadi faktor dan ianya terbukti apabila Upko hanya memenangi 1 daripada 12 kerusi yang ditandingi.

”Pada PRU14 lalu, undi KDM masih popular kepada BN (Barisan Nasional), namun apabila kerajaan BN jatuh akibat peralihan sokongan oleh Upko, KDM melihat ini sebagai suatu pengkhianatan.

”Mereka mengimbau kembali bagaimana PBS jatuh pada 1994, justeru kali ini, pengundi KDM seumpama menghukum Upko,” katanya kepada FMT.

Tony berkata, faktor perdana menteri, Muhyiddin Yassin, juga memberi kesan kepada undi masyarakat KDM.

“Kebanyakkan pengundi KDM di luar bandar terjejas akibat Covid-19 dan bantuan yang disalur oleh PN (Perikatan Nasional) lebih besar berbanding dengan kerajaan Warisan Plus sebelum ini.

“Selain itu, faktor ‘#abahkita’ memberi keyakinan kepada mereka untuk menyokong PN dan GRS agar sehaluan dengan kerajaan persekutuan.

“Ini juga berkaitan dengan politik pembangunan yang dimainkan sewaktu kempen,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Warisan Plus mahu memikat semula hati masyarakat KDM di Sabah, mereka perlu menjadi pembangkang yang lantang mulai daripada sekarang.

”Kita boleh lihat, politik identiti dalam kalangan KDM semakin menebal dan oleh sebab itu Warisan Plus harus membuktikan kepada masyarakat itu khususnya di luar bandar dengan menjadi pembangkang yang vokal, konstruktif serta efektif.

“Persepsi KDM terhadap Warisan Plus juga perlu diperbetulkan dengan memperkenalkan pendekatan-pendekatan baru,” katanya.

Pada PRN lalu, GRS yang terdiri daripada PN, BN, dan PBS berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi 38 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, Upko, dan PKR pula hanya memenangi 32 kerusi manakala 3 lagi dimenangi calon Bebas.

Jika dilihat, hampir semua kerusi DUN di pedalaman yang majoritinya kaum KDM dimenangi calon PN seperti di Tambunan, Liawan, Bingkor, Sook, Tulid, dan Nabawan.

Sementara itu di Kota Marudu juga, PBS berjaya memenangi kerusi DUN Matunggong dan Tandek manakala DUN Bandau dimenangi PN.

Di Parlimen Tuaran pula, PBS memenangi 2 kerusi DUN yang majoritinya pengundi KDM iaitu di Kiulu serta Tamparuli.

Bagaimanapun, beberapa nama besar dalam Warisan Plus masih mampu memenangi kerusi masing-masing termasuk Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, di Moyog; Naib Presiden Warisan, Peter Anthony (Melalap); dan Naib Presiden Upko, Ewon Benedick (Kadamaian).

Selain itu, calon Warisan Plus yang berjaya memenangi kawasan majoriti KDM termasuk Juil Nuatim dari Warisan yang menang di Limbahau serta Peto Galim dari PKR di Inanam.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/10/01/sentimen-jadi-faktor-masyarakat-kdm-tolak-warisan-plus/

COMMENTS