Presiden Pas anggap pelantikan Aliakbar beri nafas baru buat Pas Sabah

Pas menyifatkan pelantikan wakil partinya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kabinet Sabah membuka lembaran baharu selepas lebih 35 tahun bertapak di negeri itu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia membuka lembaran baharu kepada Pas Sabah bagi menjalin hubungan lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum serta etnik di Sabah.

“Sesungguhnya keberadaan Pas di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan Pas dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat, merentasi kaum dan fahaman agama.

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan untuk melantik Dr Aliakbar Gulasan sebagai ADUN Sabah (dilantik),” kata Abdul Hadi dalam kenyataannya hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Pas Sabah, Aliakbar Gulasan dilaporkan antara enam disenaraikan sebagai ADUN dilantik di Sabah.

Perkara itu turut dikongsi oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Muhtar Suhaili dalam hantaran Facebook beliau yang mengucapkan tahniah kepada Aliakbar Gulasan atas pelantikan itu.

Beliau turut memaklumkan Aliakbar Gulasan dijadualkan menerima watikah sebagai ADUN dilantik daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri Kota Kinabalu pagi ini.

“Kepada Dr Aliakbar dan Pas Sabah, semoga kalian diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/104407/BERITA/Politik/Pelantikan-Aliakbar-lembaran-baharu-untuk-Pas-Sabah

COMMENTS

Wordpress (0)